GAVIN pertama kali mewakili pasukan Asia.
Helmi Talkah


DUA pemain golf negara, Gavin Kyle Green dan Nicholas Fung dipilih mewakili pasukan Asia pada saingan Piala EurAsia yang akan berlangsung di Kelab Golf dan Country Glenmarie (GGCC), 12 hingga 14 Januari depan.

Gavin, 23, yang juga pendahulu Order of Merit Jelajah Asia disenaraikan buat kali pertama selepas mengharungi musim cemerlang sepanjang saingan 2017 yang menyaksikan dia meraih gelaran pertama dalam Jelajah Asia dan menduduki tempat kedua sebanyak dua kali.

“Bermain di depan penyokong sendiri adalah perkara yang hebat. Piala EurAsia adalah kejohanan besar dan ia adalah permainan yang berbeza berbanding stroke-play.

“Kejohanan ini adalah acara berpasukan dan pemain perlu bermain sebagai satu keluarga besar. Saya harap ramai peminat di Malaysia datang dan memberi sokongan kepada Pasukan Asia, ” kata Green.

Nicholas pula dipilih buat kali ketiga dalam pasukan Asia selepas turut beraksi pada edisi 2014 dan 2016.

Kapten Asia, Arjun Atwal ketika mengumumkan barisan pemain pasukan hari ini turut menyenaraikan tiga bintang Thailand iaitu Kiradech Aphibarnrat, Phachara Khongwatmai dan Poom Saksansin.

Pemain India, S S P Chawrasia (India) turut berada dalam pasukan selain Li Hao-Tong (China), Yuta Ikeda dan Hideto Tanihara (Jepun), Anirban Lahiri (India) serta An Byeonghun dan Sunghoon Kang (Korea Selatan).

Gabungan pemain pasukan Asia merekodkan keseluruhan 58 trofi yang dimenangi di serata dunia sementara enam daripada 12 pemain berusia dalam lingkungan 20-an.


NICHOLAS (kanan) dipilih mewakili pasukan Asia.

Phachara muncul pemain paling muda pada usia 18 tahun manakala Tanihara adalah pemain paling tua (39 tahun).

“Saya berbangga untuk mengumumkan pasukan saya yang mana kebanyakannya adalah pemain muda. Majoritinya berusia 20-an tetapi mereka sudah mencapai kejayaan besar dan konsisten dalam permainan.

“Tujuh pemain dalam pasukan saya berada di ranking teratas dunia dan ini menunjukkan kekuatan Pasukan Asia. Ini adalah pasukan yang terbaik dan matlamat kami ialah untuk memenangi Piala EurAsia.

“Kami akan berdepan pasukan Eropah yang menurunkan barisan pemain hebat tetapi saya percaya dengan kemampuan setiap pemain dalam pasukan ini, ” kata Atwal ketika sidang media mengumumkan senarai pemain pasukan itu di GGCC, hari ini.

Pasukan Eropah akan menampilkan Rafa Cabrera-Bello, Paul Casey, Paul Dunne, Ross Fisher, Matt Fitzpatrick, Tommy Fleetwood, Tyrrell Hatton, Alex Levy, Alex Noren, Thomas Pieters, Henrik Stenson dan Bernd Wiesberger.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 3:38 PM