MANJA (gambar kecil) mahu Singa Utara bersemangat beraksi Liga FAM.


“AYUH Singa Utara, mengaumlah semula!”

Itu kata-kata keramat yang akan sentiasa dilaungkan jurulatih, Manja Man kepada pemain yang bakal menyarung jersi Perlis bagi menghadapi musim depan.

Manja yang baru diamanahkan tanggungjawab itu berkata, semangat Singa Utara perlu dihayati setiap pemain demi membangkitkan semula pasukan itu yang bakal beraksi dalam Liga FAM pada 2018 selepas menduduki tangga tercorot Liga Perdana musim ini.

“Semua orang tahu Perlis amat sinonim dengan gelaran Singa Utara. Tapi, kini, ia sekadar tinggal nama serta tidak pernah dihayati oleh pemain yang mewakili negeri itu sekarang.

“Malah, saya berpendapat, kejatuhan Perlis daripada salah sebuah kuasa bola sepak ke Liga FAM kerana pemain tidak mempunyai semangat Singa Utara dalam diri mereka.

“Kebanyakan mereka hanya bermain kerana gaji, bukan dengan kesungguhan untuk melihat Perlis kembali menjadi pencabar.

“Sikap serta mentaliti seperti inilah yang perlu dikikis jika Perlis mahu kembali sebagai pasukan yang disegani. Saya tidak akan berkompromi dalam soal ini dan hanya akan memilih mereka yang benar-benar mahu berjuang bersama pasukan,” tegas Manja.

Justeru, menurut Manja, beliau lebih rela mencari bakat anak tempatan melalui sesi pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi berbanding membeli pemain luar kerana yakin anak jati akan lebih mudah untuk menerima falsafah bola sepaknya.

Ia tidak terkecuali kepada pemain yang mewakili pasukan itu dalam aksi Liga Perdana musim ini serta pemain skuad Piala Presiden.

“Pengalaman bermain dalam Liga Perdana atau Piala Presiden bukan keutamaan kerana saya hanya akan memilih berdasarkan prestasi semasa serta kesungguhan mereka.

“Sasaran saya bukan sekadar mahu membawa Perlis kembali ke Liga Super malah beraksi dalam final Piala Malaysia pada 2023 sebagai memenuhi permintaan kelab penyokong kepada PFA (Persatuan Bolasepak Perlis),” ujar bekas pemain pertahanan itu.

Perlis, negeri terkecil di Semenanjung itu pernah menjadi kuasa besar bola sepak negara apabila menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2004 dan 2006 di samping muncul juara Liga Super 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 4:07 PM