Buffon (kiri) terima anugerah Pemain Terbaik Serie A. -Foto AFP
AFP

Milan: Penjaga gol legenda, Gianluigi Buffon melupakan seketika soal kegagalan Itali ke Piala Dunia 2018 dengan memenangi anugerah Pemain Terbaik Serie A di majlis Anugerah Gran Gala del Calcio di sini, hari ini.

“Kegagalan untuk bersaing di Piala Dunia adalah kekecewaan terbesar dalam karier saya selain beberapa (kekalahan) di final Liga Juara-Juara,” kata pemain berusia 39 tahun yang menyarung jersi Juventus itu.

“Saya gembira dan bangga. Saya tidak pernah terfikir untuk memenangi trofi seperti ini dan saya akan memegangnya dengan kuat kerana saya tidak pernah menang pemain muda terbaik!”

Pengurus Napoli, Maurizio Sarri dinamakan jurulatih terbaik.

Buffon bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa pada bulan lalu selepas juara dunia empat kali itu gagal melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun apabila tewas dalam aksi playoff kepada Sweden.

“Pertembungan Itali, Sweden adalah kekecewaan terbesar dalam hidup saya,” katanya kepada Sky Sports Italia.

“Tetapi kami perlu terus bergerak ke depan, dan musim ini perlu ditamatkan dengan sebaik yang mungkin dengan Juventus memiliki begitu banyak sasaran untuk dicapai.”

Buffon menjuarai gelaran kesembilan Serie A bersama Juventus selain Piala Itali ketiga serta mara ke final Liga Juara-Juara kedua dalam tempoh tiga musim, musim lalu.

Dan dia turut tidak menutup sepenuhnya pintu untuk kepulangan semulanya ke skuad kebangsaan.

“Saya mengambil tempoh berehat dan saya meneruskannya. Saya sentiasa askar yang bersedia untuk pasukan kebangsaan dan Juventus jadi saya tidak boleh meninggalkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:31 PM