VARDY (kanan) meletakkan Foxes di depan pada minit ke-13. FOTO/AFP
Reuters

LEICESTER: Aksi hambar Tottenham Hotspur berterusan apabila tewas 1-2 di tangan Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Jamie Vardy dan Riyad Mahrez muncul wira Leicester apabila masing-masing meledak satu gol bagi menebus kekecewaan tewas di tangan kelab London itu musim lalu di Stadium King Power.

Tewas 1-6 di tangan skuad kendalian Mauricio Pochettino pada Mei lalu, Leicester mempamerkan aksi menakjubkan bagi mengatasi Spurs yang tewas kali ketiga dalam lima perlawanan liga.

MAHREZ (kanan) meraikan bersama penyokong. FOTO/AFP

Vardy meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-13 menerusi percubaan volinya sekali gus menewaskan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris. Ia adalah gol ke-100 Vardy dalam saingan liga.

Leicester semakin selesa di depan apabila Mahrez meledak gol kedua pada lewat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, Spurs cuba bangkit selepas ketinggalan tetapi dua peluang terhidang masing-masing menerusi Moussa Sissoko dan Dele Alli gagal disudahkan.

Spurs meraih gol tunggal mereka menerusi Harry Kane pada minit ke-79 hasil gerakan yang dimulakan oleh penyerang Argentina, Erik Lamela yang membuat penampilan pertama selepas diketepikan selama 13 bulan susulan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 10:01 AM