NORZA (tengah) menjawab pertanyaan media berhubung persiapan pasukan negara menghadapi kejohanan Piala Thomas di Dewan Datuk Haji Sidek, Persatuan Badminton Selangor, Kampung Attap. FOTO/OWEE AH CHUN
Fabian Peter


BEKAS pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai barisan pemain negara pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari tahun depan.

Di sebalik menyatakan dia mahu berehat selama tiga bulan selepas menghadapi Final Siri Super Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Dubai bulan depan, Chong Wei dijangka akan kembali lebih awal untuk membantu Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei tahun depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan perkara itu selepas melancarkan Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM di pejabat Persatuan Badminton Selangor, hari ini.

“Saya faham Chong Wei mahu meluangkan masanya dengan keluarga selepas Final Siri Super Dunia. Kami menghormati hasratnya itu.

“Apa yang dimaksudkan itu ialah dia akan berehat daripada menyertai kejohanan terbuka.

“Untuk kejohanan seperti kelayakan Piala Thomas (Kejohanan Berpasukan Badminton Asia), Sukan Komanwel (Gold Coast) dan pusingan akhir Piala Thomas, kami bersetuju untuk Chong Wei mengetuai pasukan,” kata Norza yang tidak mahu Malaysia layak menggunakan ‘pintu belakang’ untuk beraksi di pusingan akhir Piala Thomas.

Pada saingan kelayakan acara berpasukan itu tahun lalu, Malaysia mengambil keputusan untuk menghantar barisan pemain muda dan akibatnya mereka tidak dapat berada di kedudukan empat terbaik yang menjamin tempat layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas.


CHONG Wei mahu berehat selepas Final Siri Super Dunia.

Skuad negara bagaimanapun layak berdasarkan kepada jumlah mata ranking dunia dan kemudian melangkah ke separuh akhir Piala Thomas di Kunshan, China sebelum tewas 2-3 kepada Denmark.

“Kami tidak ke Alor Setar sebagai pasukan pelengkap. Kami mahu muncul pemenang.

“Untuk itu BAM mengambil keputusan menghantar pasukan terkuat. Kami berharap senarai penuh pemain akan dapat diumumkan Januari tahun depan.

“Perkara sama juga berlaku untuk Sukan Komanwel tetapi tidak seperti Piala Thomas, kami hanya boleh menghantar masing-masing lima pemain lelaki dan wanita ke Gold Coast.

“Kami pasti Chong Wei akan diturunkan sebagai pemain perseorangan pertama dan berharap sama ada Lee Zii Jia atau Iskandar (Zulkarnain Zainuddin) akan dipilih sebagai perseorangan kedua,” kata Norza.

Sementara itu, Selangor muncul negeri terakhir daripada 15 lokasi yang menganjurkan Liga Remaja Kebangsaan untuk menamatkan saingan di peringkat negeri.

Juara daripada setiap negeri akan bersaing di Grand Final di Kuala Lumpur, tahun depan.

Turut hadir pada majlis itu adalah Bendahari BAM dan Presiden Persatuan Badminton Selangor, Datuk V Subramaniam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 1:38 PM