KEMENANGAN Nafiizwan tidak memadai selepas Syafiq dan Eain Yow terkandas.
Devinder Singh


KURANG pengalaman mengakibatkan skuad muda negara tewas 1-2 di tangan Scotland pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia di Marseille, semalam.

Walaupun pemain nombor satu kebangsaan, Nafiizwan Adnan berjaya mengekalkan rekod 100 peratus selepas tiga perlawanan, rakan sepasukannya, Ng Eain Yow dan Syafiq Kamal gagal melepasi lawan masing-masing sekali gus tidak berupaya menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir.

Ia adalah kali pertama menyaksikan Malaysia gagal layak ke kelompok lapan terakhir sejak 2009 dan skuad kebangsaan akan bermain pada perlawanan klasifikasi sembilan-16 selepas ini.

Eain Yow yang menduduki ranking ke-65 dunia dan beraksi di kejohanan dunia pertamanya, tewas 11-9, 5-11, 11-9, 11-7 di tangan pemain nombor 40 dunia, Greg Lobban.

Nafiizwan yang berada di ranking ke-31 dunia, melegakan kem kebangsaan selepas menang 11-7, 1-11, 8-11, 11-3, 11-8 ke atas pemain nombor 24 dunia, Alan Clyne untuk mengikat kedudukan 1-1.

Perlawanan ketiga yang menemukan Syafiq Kamal (ke-94 dunia) dengan Douglas Kempsell (ke-101 dunia) berakhir dengan kemenangan buat pemain lawan yang menang 11-3, 3-11, 11-5, 10-12, 11-6 sekali gus bakal bertemu pilihan utama, Mesir di suku akhir.

Malaysia yang menewaskan India (2-1) dan Austria (3-0) di pusingan awal, akan menentang Finland untuk penentuan tempat kesembilan-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 2:59 PM