SUBAHAN (tiga dari kanan) percaya bakat muda yang ada mampu pacu skuad Selangor. -Foto OSMAN ADNAN
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my


SELANGOR akan menampilkan ramai pemain muda pada musim hadapan dengan dua pemain import muda dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn dan Evan Dimas sudah menandatangani perjanjian untuk bersama pasukan itu musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal berkata Selangor percaya dengan bakat muda yang ada memandangkan persatuan bola sepak itu mempunyai ramai bakat muda yang selama ini turut diesksport ke pasukan negeri lain.

“Pemain (Indonesia) ini adalah pemain muda dan berbakat jadi terpulang pada ketua jurulatih P Maniam untuk membentuk mereka,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bolasepak Remaja Antarabangsa Dato Chu Ah Ngee Kelab Diraja Selangor (RSC) kali ke-13 di sini hari ini.

Evan, 22, adalah kapten pasukan bawah 23 tahun Indonesia yang bersama skuad Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur sementara Ilham Udin, 21, juga bersama pasukan bawah 23 tahun Indonesia dengan kedua-duanya bermain bersama kelab Bhayangkara FC sebelum ini.

Dua minggu lalu, pemain tengah, Evan dan Ilham Udin yang bermain di posisi penyerang dikhabarkan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Bhayangkara FC selepas tamat perlawanan Liga 1 Indonesia yang menyaksikan kelab itu muncul juara.

Subahan berkata buat masa ini Selangor akan mengekalkan pemain Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo untuk musim hadapan apabila pemain itu bersetuju menyambung kontrak bersama The Red Giants.

“Kita kemungkinan tidak akan menggunakan kelima-lima slot pemain import. Kita akan berbelanja mengikut kemampuan dengan kini tiga dan maksima empat pemain import sahaja,” katanya.

Katanya, Selangor juga mengikat lapan pemain muda dari pasukan Piala Presiden yang muncul juara pada musim lepas untuk bermain bersama skuad senior musim hadapan.

Subahan juga mengumumkan pemain muda Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj bakal bermain bersama Selangor.

“Daripada barisan pemain kita lihat untuk tahun hadapan kita lihat ramai pemain muda dan saya yakin ini adalah untuk memantapkan pasukan kebangsaan kerana jika mereka diberi pendedahan selama tiga tahun, saya pasti mereka inilah yang akan menjadi pemain yang akan mewakili pasukan negara pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 1:00 PM