Aida Adilah Mat


BEKAS pelumba kebangsaan, Saufi Mat Senan menjulang kategori Lelaki Terbuka di siri terakhir Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) 2017 yang berlangsung di Sungai Buaya, Selangor hari ini.

Kayuhan bertenaga pelumba Terengganu, Saufi, membolehkan dia menewaskan pencabar utama yang juga peserta pilihan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi.

Saufi yang pernah menyarung jersi Terengganu Cycling Team (TSG), melepasi garisan penamat dengan catatan 1 jam 28 minit 22 saat manakala Fauzan terpaksa berpuas hati di tempat kedua, dua saat di belakang dan tempat ketiga milik pelumba dari pasukan SBS Giant Mohd Khuzairi Abdul Bakar, 1:28.56s.

Bagi Saufi, saingan sengit daripada Fauzan memang sudah dijangka dan percaturan mula dilakukan di awal perlumbaan.

“Strategi saya memang untuk menang. Saya cuba buat yang terbaik, berbincang dengan Fauzan sejak awal perlumbaan dan kami berjaya menjarakkan diri dengan pelumba lain selepas bukit pertama.

“Fauzan sudah tahu kedudukannya jadi kami tidaklah terlalu bersaing di 200 meter terakhir. Mungkin dia ingin memberi peluang kepada saya kerana dia sudah tahu bahawa dia akan muncul sebagai juara keseluruhan,” katanya yang mengakui bahawa trek di Sungai Buaya antara yang terbaik dan mencabar.

Pada saingan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya, Selangor itu, Supuskorn Nuntana dari Thailand All Star mengungguli kategori wanita terbuka. Pelumba dari Thailand itu merekodkan 1:44.22s untuk menewaskan pencabar, Noor Azian Alias yang mewakili Deuter Pinky (1:47.08s) dan Sarocha Kamalakhon (1:50.04s).

Kategori remaja dikuasai Khairul Aniq Mohamad Ghazali 1:29.14s diikuti Muhammad Yusri Shaari dari Gerik Cycling Team 1:30.37s dan ketiga, Muhammad Aidil Taufid Afendi (1:30.37s).

Bagi kategori Junior Master lelaki, Mohd Zukri Tahir dari pasukan Polygon Malaysia muncul juara dengan catatan 1:30.48s diikuti Surachet Sun Jui Thailand All Star (1:31.01s) dan Azizulazli Shaari (1:39.01s) masing-masing kedua dan ketiga.

Muhammad Razani Hussain memenangi kategori lelaki Senior Master dengan catatan 1:36.22s, menewaskan pencabar dari Thailand All Star, Prasert Chitmart 1:38.40s dan ketiga Tan Chee Yong dari pasukan SBS Giant 1:39.58s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 6:23 PM
SAUFI (dua dari kanan) juarai pusingan akhir diikuti Fauzan (kanan) di pusingan akhir HMMTBGP 2017 di Bandar Sungai Buaya. -Foto ASYRAF HAMZAH