PEMAIN Liverpool meraikan kemenangan selesa ke atas Brighton. FOTO/AFP
AFP

BRIGHTON: Jurgen Klopp menegaskan sasaran seterusnya buat Liverpool ialah meletakkan diri mereka di kedudukan empat terbaik Liga Perdana sebelum mula memikirkan mengenai pendahulu, Manchester City.

Skuad Klopp mengesahkan peningkatan terbaharu mereka dengan kemenangan 5-1 di tempat lawan mengatasi Brighton and Hove Albion malam tadi.

Ia kemenangan kelima Liverpool dalam enam saingan liga dan satu seri, sejak kekalahan 4-1 di tangan Tottenham Hotspur.

Kejayaan skuad Reds di pesisiran pantai selatan memberikan Liverpool kedudukan keempat, satu mata di depan Arsenal berikutan kekalahan 3-1 Gunners di laman sendiri kepada Manchester United awal pagi tadi.


PEMAIN Liverpool, Alexander-Arnold (kanan) mengekang pemain Brighton, Jose Izquierdo. FOTO/REUTERS

Kemenangan Liverpool ditonjolkan dengan aksi biasa kekuatan serangan yang menghasilkan 25 gol dalam lapan perlawanan terakhir semua kejohanan, jumlah yang memberikan mereka perbandingan dengan skuad Pep Guardiola, City.

“Ketika tenang, kami bermain bola sepak yang bagus,” kata pengurus Liverpool itu. “Saya tidak tahu jika anda membandingkan kami dengan Manchester City tetapi kami adalah pasukan bola sepak yang sangat bagus dan kami tahu mengenainya.

“Tapi kami perlu meneruskannya dan itu perkara yang penting,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Ia penting, ia bagus kerana kami perlukan mata, dan kami mahu kekal rapat dengan pasukan yang berada di depan kami.”


PEMAIN Liverpool, Philippe Coutinho (tengah) menjaringakan gol keempat Reds. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 10:30 AM