BERGARA (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
AFP

VALENCIA mensia-siakan peluang besar untuk merapatkan kedudukan dengan dua mata berbanding Barcelona di persada La Liga apabila mereka mengalami kekalahan pertama musim ini, tewas 1-0 di Getafe awal pagi tadi.

Kekecewaan pasukan pelawat juga ditambah dengan hakikat Getafe bermain selama 65 minit dengan kurang seorang pemain selepas Mauro Arambarri dibuang padang pada pertengahan babak pertama.

Bagaimanapun, Valencia yang bermain tanpa bakat kreatif pemain pinjaman PSG, Goncalo Guedes kerana kecederaan tampak kekurangan idea untuk memecah benteng lawan dan tewas hasil jaringan Markel Bergara, 24 minit sebelum tamat.

“Tahniah kepada mereka, mereka menang, saya tidak rasa ia keputusan yang adil tetapi ia adalah bola sepak,” kata kapten Valencia, Dani Parejo kepada BeIN Sports Sepanyol.

“Ia bukanlah alasan, tetapi untuk melihat bola sepak yang bagus dan menjadi sebahagian liga bola sepak terbaik dunia, saya tidak rasa anda boleh bermain dalam keadaan padang seperti itu hari ini.”

Kegagalan Barca untuk menang di laman sendiri buat pertama kali dalam setahun kelmarin berdepan Celta Vigo membuka ruang buat Valencia meneruskan usaha mencabar kejuaraan selepas menamatkan saingan masing-masing di tangga ke-12 pada setiap dua musim lalu.

Sebaliknya, skuad Catalan melebarkan kedudukan mereka di persada liga dengan lima mata dengan Valencia kini hanya satu mata di depan Atletico Madrid di tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:14 AM