KHAIRIL terkandas pada pusingan awal.
Azlan Muhammad Zain


TAMPIL buat kali pertama pada siri Piala Dunia di Milton, Kanada langsung tidak mengecewakan pelumba trek negara, Muhammad Khairil Nizam Rasol walaupun akur terkandas awal dalam acara keirin dan pecut individu.

Tegas pelumba Sime Darby Faoundation berusia 20 tahun itu, aksi siri ketiga Piala Dunia yang berakhir semalam adalah yang pertama bagi dirinya dan masih banyak yang perlu dipelajari.

“Ramai pelumba handalan dunia yang beraksi, ia memberikan pengalaman yang bermakna untuk saya. Banyak perkara yang saya pelajari apabila bersaing dengan mereka.

“Walaupun saya gagal mara ke peringkat lebih jauh atau menaiki podium, saya dan jurulatih (Junaidi Mohd Nasir) tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan.

“Banyak perubahan yang berlaku. Apa yang dipraktikkan ketika latihan di Melbourne digunakan sepenuhnya di sini, terutama dalam keirin – daripada aspek taktik, kelajuan dan sebagainya,” katanya.

Pemenang emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu melakarkan 10.721 saat bagi acara pecut individu pada aksi penentuan kedudukan, namun terkandas pada pusingan pertama kepada pelumba tuan rumah, Hugo Barrette.

Manakala bagi keirin, Khairil Nizam turut terkandas awal, termasuk gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga pelumba terbaik pada pusingan repecharges.

Dia akan meneruskan aksi siri keempat Piala Dunia di Chile penghujung minggu nanti.

“Saya akan berusaha lebih gigih di Chile nanti. Kalau boleh saya tidak mahu terkandas awal pada penampilan kedua nanti,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 7:03 PM