VAN Huizen akan membariskan pasukan terkuat pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April tahun depan.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen menegaskan Malaysia tidak mungkin akan membariskan pasukan kedua pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April tahun depan.

Meskipun keutamaan adalah di kempen Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Ogos depan yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Van Huizen berkata, pihaknya juga tidak boleh mengetepikan cabaran di Sukan Komanwel.

“Setakat ini, kami belum membuat sebarang keputusan barisan pemain yang akan beraksi di Sukan Komanwel.

“Tetapi, saya ingin tegaskan Sukan Komanwel tetap penting dan untuk itu, mungkin kita akan membariskan semua pemain terbaik atau pun sebaliknya.

“Segala-galanya akan bergantung kepada saingan Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung sebelum itu. Kita perlu mengambil kira beberapa faktor seperti pemain yang mungkin mengalami kecederaan serta pencapaian di kejohanan itu,” katanya.

Jelas Van Huizen, dengan status Malaysian Tigers yang kini berada di dalam Program Podium, setiap pemain perlu berusaha meraih keputusan terbaik di setiap kejohanan yang disertai.

“Anda mungkin boleh memberi idea supaya menghantar pasukan kedua, tetapi kami sekarang berada di dalam Program Podium.

“Jadi kami perlu melakukan pemilihan pemain yang betul. Kami tidak boleh menghantar pasukan kedua di Sukan Komanwel kerana pasukan yang beraksi agak kuat,” katanya.

Pada saingan Sukan Komanwel, Malaysian Tigers diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama juara Asia, India; England, Pakistan dan Wales.

Mereka bernasib baik apabila tidak diundi dalam Kumpulan A, yang disertai juara bertahan dan pasukan ranking kedua dunia, Australia serta New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 8:14 PM