MOMOTA terbabit skandal perjudian sebelum ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
MOMOTA terbabit skandal perjudian sebelum ini. FOTO Saifullizan Tamadi.
Reuters

Tokyo: Bekas pemain nombor dua dunia Kento Momota akan diserapkan semula dalam skuad badminton kebangsaan Jepun musim depan ketika dia meneruskan pemulihan daripada skandal berjudi yang menyebabkannya diketepikan daripada Sukan Olimpik Rio, lapor media tempatan.

“Dia sudah kembali ke tahap sebelum ini sebelum masalah bermula,” kata ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong kepada agensi berita Kyodo.

“Sasaran utama kami adalah Sukan Olimpik Tokyo 2020.”

Momota muncul pemain pertama Jepun meraih pingat perseorangan lelaki pada kejohanan dunia apabila dia merangkul pingat gangsa di Jakarta pada 2015 dan turut memenangi Pusingan Akhir Siri Super tahun itu.

Kariernya merudum kemudian apabila dia digantung daripada pasukan kebangsaan pada April 2016 kerana mengunjungi kasino haram dan terlepas aksi Olimpik Rio tahun lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu kembali ke pertandingan antarabangsa Julai lalu pada Terbuka Kanada namun tidak beraksi di kejohanan besar.

Kuasa besar badminton Jepun meraih satu emas dan satu gangsa pada temasya Rio untuk berakhir di tangga kedua dalam pungutan pingat di belakang China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:26 AM