Zukri menunjukkan hadiah yang dimenanginya.
Amrullah Abdul Karim


Rawang: Catatan masa 1 jam 30 minit dan 48 saat meletakkan pelumba dari pasukan Polygon Malaysia Racing Team, Zukri Tahir, 38, muncul juara kategori Junior Master lelaki di Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP) Sabtu lalu.

Zukri menewaskan Surachet Sun Jui dari pasukan Thailand All Star dan Azizulazli Shaari dari pasukan Natura.

Menurut Zukri, dia yang menyertai perlumbaan sejak siri pertama HMMTBGP di Bukit Merah Lake Town, Perak dan siri kedua di Kerteh, Terengganu mengakui trek Sungai Buaya adalah yang paling mencabar pernah ditempuhinya.

Namun, keupayaan untuk terus bertahan dan mengekalkan kedudukan dalam kelompok pendahulu memberi kelebihan kepadanya.

“Saya sedar bahawa saya tidak boleh sesekali patah semangat dan saya perlu sentiasa ikut pelumba di depan.

“Masa di laluan berbukit, saya rebut kedudukan depan dan melajukan kayuhan ketika turun seterusnya membuat pecutan di laluan akhir sampai garis penamat,” katanya.

Menurutnya, permulaan perlumbaan itu sangat teknikal dengan permukaan jalan berbatu dan becak.

Katanya, semua pelumba boleh dikatakan hebat dan justeru, dia perlu sentiasa berada di posisi depan bagi mengelak daripada terjatuh.

Zukri, Pegawai Waran 1 dari Rejimen Semboyan Diraja turut merangkul gelaran juara keseluruhan dalam kategori Junior Master lelaki selepas mengumpul 290 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:30 AM