Chee Yong raih tempat ketiga bagi kategori Senior Master.
Amrullah Abdul Karim


Rawang: Usaha pelumba pasukan SBS Giant Malaysia, Tan Chee Yong mengekalkan rentak kayuhan di belakang dua pelumba pendahulu hingga tamat perlumbaan membolehkannya menduduki tempat kedua keseluruhan bagi kategori Senior Master pada saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2017 (HMMTBGP), Sabtu lalu.

Dia mengumpul 240 mata menewaskan pelumba Thailand All Star, Prasert Chitmart yang memperoleh 180 mata dan juara Muhammad Razani Husain, 300 mata.

Menurut Chee Yong, dia menyedari cabaran dan halangan pada siri akhir HMMTBGP itu namun tetap berusaha memberi saingan.

“Pada permulaan, saya berada di depan namun mula dikejar pelumba lain. Memang sukat mengejar dua pelumba itu dan saya memastikan supaya terus kekal di kedudukan ketiga sehingga garisan penamat.

“Saya cuma mahu meraih mata yang banyak untuk mengejar kedudukan nombor dua secara keseluruhan,” katanya yang berjaya menamatkan perlumbaan itu dengan masa 1’39.58.

Pada siri pertama di Bukit Merah Laketown, Perak, Chee Yong mendapat tempat kedua manakala siri kedua di Kerteh, Terengganu di tempat ketiga.

Dia mengakui trek Sungai Buaya amat mencabar dan licin malah dianggap perlumbaan paling memenatkan baginya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:32 AM