AKSI penyerang Valencia Simone Zaza (kiri) ketika kekalahan ke atas Getafe. -Foto AFP
Reuters

MADRID: Jurulatih Valencia, Marcelino tetap positif selepas menyaksikan skuad kendaliannya dikejutkan Getafe selepas tumbang 1-0 yang hanya beraksi dengan 10 pemain sepanjang perlawanan sekali gus kekalahan pertama mereka dalam saingan La Liga musim ini.

Kelab yang berpangkalan di pantai timur Sepanyol itu kini ketinggalan lima mata di belakang Barcelona dan duduki tangga kedua hasil pungutan 31 mata dalam 14 aksi dengan kali terakhir menjuarai liga pada musim 2004.

Marcelino yang dilantik pada Mei lalu kini dalam laluan terbaik untuk memacu Valencia kembali disegani selepas melalui musim yang agak hambar beberapa tahun lalu.

Nyata sentuhan pengendali berusia 52 tahun itu benar-benar menjadi apabila kelabnya kini bersaing hebat meninggalkan dua lagi pasukan pilihan iaitu Atletico Madrid di kedudukan ketiga (30 mata) dan juara bertahan Real Madrid di tempat keempat (28 mata) setakat ini.

Namun apa yang lebih mengagumkan apabila beliau hanya menggunakan khidmat pemain muda berbanding pasukan lain yang dilimpahi tonggak bertaraf bintang.

“Saya lihat skuad Real Madrid kurang menyengat daripada barisan musim lalu,” katanya kepada stesen radio tempatan.

“Barcelona, ​​Real Madrid, Atletico Madrid dan Sevilla antara kelab terbaik di liga Sepanyol sejak beberapa musim lalu. Mereka mampu bertahan untuk tempoh yang agak lama.

“Mungkin kali ini Barcelona akan bangkit kembali selepas Real Madrid mendominasi saingan untuk dua musim ini. Namun saya juga percaya pasukan kami mampu memberi cabaran dan bersaing memburu gelaran,” katanya.

Valencia mensia-siakan peluang besar untuk merapatkan kedudukan dengan dua mata di belakang Barcelona apabila mereka mengalami kekalahan pertama musim ini kepada Getafe.

Bagaimanapun, Valencia yang bermain tanpa bakat kreatif pemain pinjaman PSG, Goncalo Guedes kerana kecederaan tampak kekurangan idea untuk memecah benteng lawan dan tewas hasil jaringan Markel Bergara, 24 minit sebelum tamat.

“Kekalahan ini mematangkan kami supaya tampil lebih bersedia untuk aksi berikutnya. Perjalanan liga masih jauh dan dalam tempoh berkenaan apa saja boleh berlaku,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 11:13 AM