CHONG Wei mampu jadi mentor terbaik.
Ferzalfie Fauzi

SUDAH ada bayangan dan ia termasuk Datuk Lee Chong Wei – kata Datuk Misbun Sidek yang perlu mempersiapkan skuad kelayakan badminton Piala Thomas, menjelang aksi kelayakan bermula 6 hingga 11 Februari ini, di Alor Setar, Kedah.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki ini menegaskan, kehadiran Chong Wei dalam pasukan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) itu sangat penting untuk menjadi panduan kepada pemain muda.

“Sudah tentu (menggunakan khidmat Chong Wei), setidak-tidaknya dia mampu menjadi mentor kepada pemain lain. Cara latihan dan usia lebih jauh berbanding pemain lain menunjukkan dia ada pengalaman serta berkaliber,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Jelasnya, kejuaraan yang diraih di Terbuka Hong Kong juga sudah menunjukkan petanda jaguh perseorangan lelaki negara itu boleh menghadirkan kemenangan kepada pasukan.

“Kita menganggap dia sebagai tonggak dalam persiapan kelayakan Piala Thomas ini. Sudah tentu kita mempunyai barisan pemain muda yang kurang pengalaman. Bagaimanapun, kejohanan ini bukannya berlangsung setiap tahun, jadi kita akan mempersiapkan mereka untuk berdepan pemain lawan.

“Ia memang nampak agak sulit, namun ini adalah tugas yang saya perlu lakukan untuk mempersiapkan mereka. Kita akan membuat keputusan dan berharap mampu mempertaruhkan pasukan terbaik bagi kelayakan Piala Thomas ini,” katanya.


MISBUN pasti menggunakan khidmat Chong Wei.

Ketika ini, Misbun mengakui beliau sudah mempunyai senarai nama secara rawak dan sedar skuad negara mempunyai tugas sangat berat untuk bersaing kerana peluang serta tentangan yang bakal dihadapi cukup sukar.

“Kita bukan ada satu pasukan yang unggul seperti China dan Denmark, tetapi kita tidak putus asa. Kita akan mendapatkan pasukan terbaik untuk menggalas cabaran Piala Thomas.

“Anda juga sudah tahu siapa pemain yang kita ada. Selepas ini saya akan memberikan nama kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, sebelum dibincangkan serta dikupas lebih lanjut.

“Buat masa sekarang, tugas saya adalah meningkatkan prestasi mereka kerana menggalas tugas di kelayakan Piala Thomas bukannya tugas mudah,” kata Misbun.

Legenda perseorangan lelaki negara itu berkata, beliau akan melihat siapa pemain yang boleh beraksi atau tidak, termasuk mereka yang mempunyai masalah kegugupan.

“Belum isi nama lagi sudah tidak boleh main dan itu petanda persiapan seseorang pemain itu masih belum cukup. Saya akan cuba terapkan dalam persiapan selama dua bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 6:29 PM