ZIDANE harap Ronaldo kembali temui sentuhan.
Reuters

MADRID: Cristiano Ronaldo berhak untuk lebih dihormati, kata pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane hari ini.

Di sebalik mengharungi kempen domestik terburuk di Sepanyol setakat ini, Zidane percaya penyerang prolifik Portugal itu akan bangkit selepas pertengahan musim.

Ronaldo hanya meledak dua gol dalam 10 penampilan liga dan menjadi tumpuan kritikan media Sepanyol susulan penampilannya selepas Real mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu Athletic Bilbao, Sabtu lalu.

Keputusan itu menyaksikan Real ketika ini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Begitupun, pemain berusia 32 tahun itu masih menjadi calon utama untuk memenangi anugerah Ballon d’Or, Jumaat ini selepas membantu Real menjuarai Liga Juara-Juara, musim lalu.

Ketajaman Ronaldo dalam kempen elit itu terserlah selepas meledak hatrik ketika aksi suku akhir menentang Bayern Munich dan separuh akhir melawan Atletico Madrid sebelum menjaringkan dua gol ketika final menentang Juventus.

Jika dia memenangi anugerah berkenaan, Ronaldo akan mengumpul jumlah gelaran yang sama dengan Lionel Messi untuk muncul pemain terbaik dunia sebanyak lima kali.

“Saya fikir Cristiano berhak untuk lebih dihormati kerana dia adalah pemain yang hebat dan apabila perkara tidak berlaku seperti diharapkan, semua orang mula bercakap mengenainya,” kata Zidane.

“Kita berada di pertengahan musim, masih ada enam bulan untuk mengharungi musim ini. Enam bulan adalah tempoh masa yang amat panjang bagi Cristiano.”

Begitupun, Ronaldo masih kekal berbisa di kempen Eropah apabila sudah menjaringkan lapan gol daripada lima perlawanan setakat ini dan berada di landasan tepat untuk muncul penyerang terbaik dalam kempen itu buat tahun keenam berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 12:30 AM