PEMAIN Liverpool perlu pamer aksi konsisten untuk buru slot kalah mati.
PEMAIN Liverpool perlu pamer aksi konsisten untuk buru slot kalah mati.
AFP

LONDON: Bos Liverpool, Jurgen Klopp terdesak untuk mengelak satu lagi kesilapan ketika skuad kendaliannya diletakkan harapan menggunung untuk mara ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Keputusan seri di laman sendiri menentang Spartak Moscow, esok pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan mengesahkan tempat buat The Reds di pusingan kalah mati tetapi kemenangan akan meletakkan mereka selaku juara Kumpulan E.

Klopp jelas enggan memandang remeh perlawanan berkenaan selepas menyaksikan Liverpool mensia-siakan kelebihan 3-0 untuk sekadar mengutip satu mata ketika menentang Sevilla pada perlawanan terdahulu.

Tiga tahun lalu, Liverpool yang juga juara Eropah lima kali memerlukan kemenangan di Anfield menentang Basel untuk mara tetapi skuad yang ketika itu dibimbing Brendan Rodgers terpaksa tersisih ke saingan Liga Europa.

“Semua perkara yang baik dan buruk yang berlaku dalam Liga Juara-Juara, kebanyakannya baik, sudah membawa kami ke situasi ini dan jika kami menang dan mara, ia adalah sesuatu yang hebat,” kata Klopp.

“Saya tahu ramai orang mungkin berfikir yang kami sepatutnya sudah mara tetapi ia bukannya kehidupan, ia bukannya ‘jika’ dan ‘bila’, ia adalah mengenai ketikanya.

“Spartak boleh bercakap perkara yang sama kerana mereka mensia-siakan empat mata menentang Maribor yang meletakkan mereka di situasi yang berbeza.”

Seandainya berjaya, Klopp akan membawa Liverpool ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2009.

Pengurus dari Jerman itu berkata dia akan menyenaraikan skuad terkuat sekali pun dijadual bertemu seteru tetangga, Everton yang dibimbing jurulatih baharu, Sam Allardyce pada Ahad ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris.

Antara yang bakal diturunkan ialah perancang Coutinho yang kekal menjadi subjek spekulasi perpindahan ke kelab Catalan, Barcelona. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 1:11 AM