DHAARMA (tengah) memberikan arahan kepada skuad hoki wanita.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki wanita negara dilihat bukan sekadar menjadi pasukan pelengkap pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April tahun depan yang juga kejohanan pertama Malaysian Tigress.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dr S Shamala berkata, beliau yakin skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu mampu menghadirkan keputusan positif selepas mengambil kira peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.

Di Gold Coast, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan ranking kedua dunia, England, juara Asia, India; Afrika Selatan dan Wales.

Kumpulan B pula membabitkan juara bertahan, Australia; New Zealand, Scotland, Kanada dan Ghana.

“Sebagai contoh pasukan negara pernah bertemu India di Trofi Juara-Juara Asia dan Piala Asia dengan hanya kalah tipis 0-2.

“Ia adalah satu penanda aras yang bagus. Sebelum ini kita tewas tetapi menjelang Sukan Komanwel nanti mungkin prestasi skuad negara akan lebih meningkat.

“Sebab itu saya yakin mereka mampu memberikan keputusan yang bagus,” kata Shamala.

Shamala berkata, Dhaarma banyak membawa perubahan baru di dalam pasukan terutama dalam aspek teknikal.

“Malah setiap pemain juga sudah mendapat pendedahan yang banyak sepanjang tahun ini,” katanya.

Sejak acara hoki diperkenalkan pada 1998 di Kuala Lumpur, skuad negara tidak pernah gagal menyertainya dengan pencapaian terbaik menduduki tempat keenam di Melbourne, Australia 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 7:41 PM