NURRIDZUAN (kiri) tekad pamer aksi cemerlang bersama PKNS FC. FOTO Osman Adnan
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

Kuantan: Pemain tengah, Nurridzuan Abu Hassan menamatkan segala spekulasi apabila sah menyertai PKNS FC musim depan.

Sebelum ini bekas pemain Harimau Muda A itu dikatakan akan kembali semula mewakili Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Nurridzuan berkata, penghijrahan ke PKNS FC diharap memberi lebih motivasi kepadanya untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang berbanding bersama Pahang musim ini.

“Saya percaya PKNS FC yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan (Datuk K Rajagobal) akan lebih menyerlah untuk membawa kelab ini lebih berdaya saing.

“Dengan pengalaman yang dimiliki jurulatih serta rakan lain, saya mengharapkan misi meraih kejuaraan dalam Liga Malaysia terlaksana.

“Kepercayaan yang diberikan pengurusan kelab akan dibalas dengan mempamerkan prestasi menyakinkan untuk merealisasikan misi pasukan,” katanya.

Pemain kelahiran Perak itu menyarung jersi Pahang musim ini namun bagi saingan musim 2018, kontraknya tidak dilanjutkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 8:59 AM