RONALDO (dua dari kiri) jaring gol dalam setiap perlawanan Liga Juara-Juara. Foto Reuters
Reuters

MADRID: Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama dalam sejarah menjaringkan gol dalam semua enam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bagi tempoh semusim apabila Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 3-2, awal pagi tadi.

Lucas Vazquez menjadi wira apabila meledak gol kemenangan sembilan minit sebelum tamat buat juara Eropah itu yang mara ke pusingan 16 terakhir sebagai naib juara Kumpulan H di belakang Tottenham Hotspur.

Ronaldo mencatat gol kesembilan dalam enam penampilan di pentas Eropah musim ini bagi membantu Real mendahului 2-0 selepas Borja Moyoral membuka tirai jaringan pada minit ke-12.

Pierre-Emerick Aubameyang meneruskan rekod cemerlangnya menentang Real apabila meledak dua gol pada minit ke-43 dan 48 bagi menyamakan kedudukan buat Dortmund.

Namun, Vazquez muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 sekali gus menyaksikan Dortmund terpaksa berpuas hati menamatkan saingan kumpulan di tangga ketiga dan beraksi dalam Liga Europa.

Di sebalik kemenangan itu, Real dibelenggu masalah kecederaan yang dialami tonggak pertahanan Perancis, Raphael Varane.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane kini dihimpit krisis kecederaan menjelang kunjungan ke Sevilla, Sabtu ini dengan kapten, Sergio Ramos dan tonggak pertahanan kanan, Dani Carvajal selain pemain tengah bertahan, Casemiro digantung perlawanan.

“Rafa mengalami kecederaan tapi kami akan lihat perkembangannya esok apabila dia menjalani ujian imbasan. Yang pasti dia tidak akan bermain Sabtu ini dan kami perlu cari jalan penyelesaian,” kata Zidane.

Zidane melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama ketika seri tanpa jaringan dengan Athletic Bilbao tetapi mereka tetap bermain dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 9:33 AM