WILSHERE (dari kanan), Giroud dan Walcott masih diperlukan Wenger. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan tidak akan menjual penyerang Olivier Giroud, pemain tengah Jack Wilshere dan pemain sayap Theo Walcott pada tempoh perpindahan pemain Januari ini meskipun jarang beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Trio skuad The Gunners itu kebanyakannya hanya diturunkan dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Europa dan Piala Liga musim ini dan masih belum berada dalam skuad utama bagi aksi EPL dengan Giroud tampil dalam 12 perlawanan sebagai pemain gantian manakala Wilshere (empat) dan Walcott (tiga).

Jarang beraksi dalam perlawanan liga utama itu akan mengakibatkan mereka kehilangan tempat dalam pasukan masing-masing ke Piala Dunia 2018 namun Wenger mengesahkan trio pemain itu tidak akan meninggalkan Emirates.

“Mereka perlu membuat keputusan, saya juga akan membuat keputusan sendiri,” kata Wenger kepada pemberita semalam.

“Saya tidak boleh terlalu memikirkan mengenai kepentingan skuad kebangsaan. Saya mahu mengekalkan skuad ini. Saya tidak mahu skuad ini menjadi lemah.

“Saya harus memikirkan segala kepentingan pemain tapi sudah pasti perkara utama adalah kepentingan kelab. Jika anda boleh seimbangkan kedua-dua kepentingan ini lebih baik tapi apa yang lebih penting adalah kelab.”

Walcott, pemain antarabangsa England sudah bersama Arsenal selama 11 tahun tapi bukan lagi pemain utama namun Wenger percaya, pemain berusia 28 tahun itu akan merampas kembali tempatnya.

“Dia mempunyai kemampuan (untuk berada dalam kesebelasan utama),” tambah Wenger. “Sudah pasti dia kecewa namun dia kekal fokus. Dia tidak berputus asa dan terus mempamerkan kesungguhan.”

Arsenal mempunyai beberapa pemain yang bakal tamat kontrak dalam tempoh dua tahun lagi termasuk Alexis Sanchez, Aaron Ramsey, Mesut Ozil dan Petr Cech.

“Apabila anda memilih pemain dalam kesebelasan utama, anda tidak perlu melihat baki kontrak pemain itu,” jelas Wenger. “Semakin singkat kontrak, pemain biasanya akan lebih bersemangat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 8:21 PM