WELSON bersama pingat yang dimenangi pada majlis jamuan tahunan MOM ke-24  di Wisma OCM.  FOTO/OSMAN ADNAN
WELSON bersama pingat yang dimenangi pada majlis jamuan tahunan MOM ke-24 di Wisma OCM. FOTO/OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


AKSI cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) menyaksikan dua bintang negara, Welson Sim serta Fatehah Mustapha masing-masing diangkat selaku pemenang Anugerah Olimpian Lelaki dan Wanita Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2017.

Menerusi majlis penuh gemilang hari ini, Welson yang beraksi dalam acara renang meraih penghargaan tertinggi itu selepas memenangi dua emas serta masing-masing satu perak dan gangsa.

Emas yang diraihnya adalah dalam acara 200 meter (m) gaya bebas serta 400m gaya bebas yang menyaksikannya memperbaharui rekod kejohanan.

Fatehah pula unggul di trek Velodrom Nasional, Nilai apabila membolot empat emas iaitu dalam acara keirin, pecut, pecut berpasukan serta ujian masa wanita.

WELSON (kiri) dan FATEHAH dinobatkan sebagai  Olimpian MOM 2017.
WELSON (kiri) dan FATEHAH dinobatkan sebagai Olimpian MOM 2017.

Majlis sama turut memberi anugerah kepada pemenang bagi tahun 2016 yang menyaksikan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki sementara Olimpian Wanita milik gandingan terjun negara, Pandelela Rinong serta Cheong Jun Hoong.

Chong Wei meraih anugerah itu selepas memenangi pingat perak pada temasya Sukan Olimpik, Rio, Brazil yang juga perak ketiganya di temasya sukan terbesar dunia itu.

Manakala Pandelela-Jun Hoong meraih perak menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Sementara itu, 10 tokoh diserap ke dalam Dewan Kemasyhuran MOM untuk tahun 2017, iaitu dua bekas pegawai, Datuk P Krishnasamy dan Datuk Dr Harjit Singh (kriket) serta lapan bekas atlet iaitu Annie Choong (olahraga) Datuk Wira Gan Boon Leong (bina badan), S Rajalingam, Datuk Dr Amarjit Singh (kriket), Ng Joo Pong, Hector Conrad Talalla dan Omar Saad (berbasikal) serta mendiang MC Kailasapathy JP (kriket).

Seramai 12 tokoh untuk Dewan Kemasyhuran MOM 2016 pula ialah Josephine Mary (olahraga), Wong Choon Hann (badminton), Nor Effandy Rosli (berbasikal), Nurul Huda Baharin (menembak), Kenny Ang serta Ben Heng (Tenpin Bowling), Muhammad Hidayat Hamidon serta lima tokoh yang sudah tiada, Toh Fook Hung, Thong Saw Pak, Tan Kim Bee, Chung Kum Weng, K H Cheong (angkat berat).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 11:00 PM