SATHIT (kiri) teraju TRW.
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


HASRAT untuk melihat The Red Warriors (TRW) mendapatkan kepakaran jurulatih dari luar negara tidak kesampaian apabila rundingan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan jurulatih kelahiran Rebuplic Czech, Tomas Trucha tidak mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak negeri itu mengumumkan jawatan ketua jurulatih pasukan diserahkan kepada jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh yang turut dibantu bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah sebagai penolong jurulatih TRW musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata keputusan melantik Sathit sebagai pengemudi terbaharu pasukan dibuat selepas melihat keupayaan serta kesungguhannya sepanjang menjadi pemangku jurulatih pasukan sebelum ini.

Katanya, bagi musim depan Sathit akan dibantu oleh jurulatih tempatan kelahiran Perlis, Yusri Che Lah yang dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan.

“Kita memberi peluang kepada Sathit untuk mengetuai kejurulatihan pasukan selepas beliau bersungguh-sungguh membuktikan keupayaannya sebelum ini.

“Kita juga lihat gandingannya bersama Yusri sebelum ini dan kedua-dua mereka menampakkan kesungguhan untuk membimbing pasukan Kelantan.

“Jadi Yusri kini dilantik sebagai penolong jurulatih bagi membantu Santhit memimpin pasukan nanti,” katanya di sini, hari ini.

Pada masa sama, Bibi Ramjani turut memaklumkan Sathit ada memberitahunya supaya memberi peluang kepadanya memimpin pasukan dalam tiga atau empat perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan dan sanggup direhatkan jika prestasi pasukan tidak konsisten.

“Dia meminta supaya diberi peluang memimpin barisan pemain dengan tiga atau empat perlawanan nanti dan jika tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baik, dia sedia undur diri.”

Mengulas lanjut mengenai kegagalan mendapatkan khidmat Trucha sebagai Pengarah Teknikal pasukan musim depan, Bibi Ramjani memberitahu jurulatih berusia 46 tahun itu meletakkan syarat yang sukar diterima pasukan.

“Kita lupakan hasrat untuk ambil Tomas disebabkan dia hanya mahu jawatan menjadi ketua jurulatih,” katanya yang sebelum ini menawarkan jawatan Pengarah Teknikal TRW kepada Trucha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:36 AM