TUNKU Ismail ketika Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM kali ke 3 bagi sesi 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya. NSTP/Amirudin Sahib.
Azlan Muhammad Zain dan Mohd Fitrie Muhamad


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pasukan atau kelab yang mengabaikan program pembangunan remaja serta akar umbi tidak akan mendapat bayaran hak penyiaran.

Menurutnya, hanya beberapa persatuan negeri yang mempunyai pertandingan setempat dan peringkat umur akan mendapat bayaran penuh hak penyiaran berkenaan.

“Saya mempunyai senarai, hanya beberapa negeri melakukannya. Saya berharap dengan bajet baru menerusi hak penyiaran boleh membantu negeri mempunyai sistem program pembangunan dan infrastruktur yang lebih baik.

“Hanya pasukan dan kelab yang serius dalam meningkatkan tahap bola sepak dan fokus kepada pembangunan seharusnya mendapat bayaran penuh. Itu pendapat saya,” katanya.

Tunku Ismail sebelum ini dilaporkan berkata pada 2018, setiap pasukan dijangka mendapat hak penyiaran sekitar RM3 juta hingga RM4 juta dan bakal meningkat pada tahun seterusnya.

“Mereka tidak mempunyai hak untuk diberikan (sekiranya tidak melaksanakannya), sebab itu kita mengikut kriteria yang ditetapkan... ada lesen,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Tunku Ismail menjelaskan FAM akan bekerjasama rapat dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Mereka mempunyai bajet dan patut memainkan peranan yang lebih besar serta fokus kepada ribuan kanak-kanak, tidak hanya sekelompok saja. Kita sedang bekerjasama dengan PPBN kerana akhirnya masa depan bola sepak negara bergantung kepada pembangunan akar umbi,” katanya.

Malah Tunku Ismail turut mengumumkan kewujudan liga divisyen empat dan lima dalam kancah bola sepak tempatan.

Menurut Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dalam entri Facebook miliknya, divisyen lima dijadualkan bermula tahun depan menyaksikan 24 liga setiap negeri dengan juara akan layak ke divisyen empat pada 2019 dengan 24 pasukan.

“Sebagai contoh, Piala Menteri Besar bagi sesetengah negeri, selepas itu sudah tiada kesinambungan. Jadi, kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada sistem dan memainkan peranan. Kita mahu menggalakkan penubuhan kelab komuniti dan sebagainya,” jelas Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 6:43 PM