PEMAIN Inter dan Juventus bersalam selepas tamat perlawanan yang berakhir seri tanpa jaringan. -Foto AFP
Reuters

MILAN: Inter Milan mengekalkan rekod tanpa kalah serta terus menghuni tangga teratas Serie A selepas merekod keputusan seri tanpa jaringan bertemu seteru utama, Juventus, awal pagi tadi.

Kelab kendalian Luciano Spalletti itu meninggalkan Turin dengan kelebihan dua mata di depan Napoli yang ketika ini berkongsi 38 mata dengan Juventus.

Tetapi Napoli berpeluang untuk merampas kedudukan teratas apabila bertemu Fiorentina di laman sendiri, malam ini.

Pasukan di tangga keenam, Sampdoria juga terlepas peluang untuk merapatkan posisi ke tempat Liga Juara-Juara selepas mensia-siakan kelebihan dua gol pada babak pertama untuk sekadar seri 2-2 di Cagliari.

Kelab bimbingan Marco Giampaolo itu ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat, Roma yang akan bertandang ke Chievo, malam ini.

Inter boleh dianggap bernasib baik untuk pulang dari Stadium Allianz dengan satu mata berikutan prestasi dominan yang ditampilkan tuan rumah yang mencipta pelbagai siri peluang yang kebanyakannya dicipta oleh Juan Cuadrado tetapi disia-siakan oleh Mario Mandzukic.

Penyerang Croatia itu melepaskan rembatan tepat ke penjaga gol Inter, Samir Handanovic ketika permainan memasuki minit kelapan sekali pun hantaran Cuadrado yang berjaya melepasi benteng pertahanan.

Mandzukic sekali lagi hampir memecah kebuntuan sebelum babak pertama berakhir juga berpunca daripada hantaran Cuadrado tetapi tandukannya sekadar menggelar palang.

Babak kedua juga berlangsung sama seperti separuh masa pertama dengan Juventus gagal mempergunakan kelebihan untuk menggegar gawang Inter yang bergelut di kawasan tengah padang tetapi dibantu kecemerlangan Handanovic.

Mandzukic berpeluang untuk menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki lapan minit apabila satu lagi hantaran Cuadrado tepat ke arahnya tetapi dia tergelincir sebelum sempat melakukan rembatan untuk Inter terselamat dan membawa pulang satu mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:38 PM