HEUNG-MIN (tengah) jadi inspirasi pasukannya ketika membenam Stoke City 5-1 malam tadi. -Foto AFP
Agensi

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino melontarkan pujian kepada Son Heung-min selepas pemain itu memberi inspirasi kepada pasukan kembali mendapat rentak kemenangan apabila membelasah Stoke City 5-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Pemain berusia 25 tahun dari Korea Selatan itu mempamerkan aksi terbaiknya apabila pasukan itu menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan dengan dia turut menjaringkan gol.

Heung-min meledak gol kedua buat Spurs selepas Ryan Schowcross menjaringkan gol sendiri untuk Spurs mendahului 1-0. Penyerang prolifik Spurs, Harry Kane meledak dua gol manakala Christian Eriksen turut meletakkan namanya dalam senarai penjaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya kelab itu.

“Son bermain sangat baik. Kami berikan dia kredit dan dia memang berhak menerimanya.

“Saya tidak pasti apa yang orang ramai dan media katakan mengenai dirinya, tetapi kami mengiktiraf kerjanya. Kami perlukan pemain yang boleh bertahan dan menjaringkan gol, sumbangannya menakjubkan.

“Dia bukan saja pemain yang baik tetapi cukup profesional,” kata Pochettino.

Ia kemenangan yang sangat diperlukan Spurs selepas berada dalam zon bahaya untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas terutama selepas peluang untuk memburu gelaran liga sudah tertutup.

Selepas tercicir mata di Wembley ketika menentang Swansea City dan West Brom, Pochettino jelas lega dengan kemenangan yang cukup penting itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:09 PM