SELVARATNAM bercakap pada Majlis Mesyuarat Tahunan Persatuan Olympian Malaysia di Wisma OCM, Jalan Hang Jebat. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
SELVARATNAM bercakap pada Majlis Mesyuarat Tahunan Persatuan Olympian Malaysia di Wisma OCM, Jalan Hang Jebat. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Sukhairi Thani


PERSATUAN Olimpian Malaysia (MOA) amat memahami tugas olimpian muda negara dan sama sekali tidak akan ‘mendesak’ mereka untuk bersama-sama terbabit dalam setiap program dilakukan pertubuhan itu.

Ketika ini, seramai 367 ahli sudah pun direkodkan MOA sebaik saja selepas Sukan Olimpik Rio 2016 dan bagi presidennya, Karu Selvaratnam, golongan Olimpian muda sudah tentu mempunyai kalendar musim yang padat terutama daripada sudut latihan dan menyertai kejohanan.

Oleh itu, bekas wakil olahraga di Olimpik Tokyo 1964 itu berkata, pihak MOA tidak mahu terlalu mengganggu penyertaan olimpian muda ini dan memberi kelonggaran buat mereka terutamanya di dalam program direncanakan persatuan.

“Sukar untuk mendapatkan mereka kerana sibuk mempersiapkan diri untuk Olimpik,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOA, hari ini.

“Mereka sibuk... berlatih dan menyertai kejohanan (di dalam mahupun luar negara). Jadi saya membiarkan mereka dan apabila mempunyai masa terluang daripada aktiviti serius dan juga kejohanan, maka mereka boleh datang dan membantu kami.

“Pada masa sama, kami akan sentiasa memberi sokongan dan juga dorongan yang mungkin mereka perlukan.”

Keahlian Olimpian di dalam MOA adalah secara automatik dan daripada 367 ahli ketika ini, 311 adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

Sukan hoki menjadi penyertaan terbesar dalam MOA dengan 117 atlet manakala renang menyaksikan pembabitan seramai 13 atlet wanita.

Mengulas mengenai program yang bakal dilaksanakan persatuan tahun depan, bekas quartet 4x400m itu berkata: “Pada tahun 2017, kami tidak begitu aktif kerana tidak mempunyai dana mencukupi dan pendaftaran semula persatuan juga mengambil banyak masa.

“Tahun depan, mungkin ada yang lebih baik untuk kami. Kami sudah mempunyai perancangan dan hanya menunggu masa melaksanakannya.

“Jawatankuasa harus berusaha lebih gigih dan aktif bagi memastikan setiap perancangan, program remaja dan aktiviti amal yang bakal diadakan nanti membuahkan hasil. Ia akan menjadi tahun yang menarik dan sibuk buat kami nanti.”

Untuk tahun ini, persatuan yang didaftarkan semula pada 2016 itu sudah menyertai beberapa program antaranya larian World Pharmaceutical Day Run di Pulau Pinang dan larian obor sempena Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 5:57 PM