GIROUD (tiga dari kiri) jaring gol penyamaan buat Arsenal ketika menentang Southampton. -Foto Reuters
GIROUD (tiga dari kiri) jaring gol penyamaan buat Arsenal ketika menentang Southampton. -Foto Reuters
Reuters

LONDON: Olivier Giroud akan kekal di Arsenal dan tidak hanya disenaraikan sebagai pemain gantian, kata pengurus Arsene Wenger selepas peledak Perancis itu muncul penyelamat ketika Gunners meraih keputusan seri 1-1 melawan Southampton, semalam.

Gol penyamaan menerusi tandukan itu adalah jaringan ke-17 Giroud dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selaku pemain gantian yang menyamai rekod yang sebelum ini dicipta bekas penyerang Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Giroud belum pernah disenarai dalam kesebelasan utama pada aksi liga musim ini dan laporan media sebelum perlawanan mendakwa pemain Perancis itu mungkin akan dipinjamkan pada Januari untuk mendapatkan lebih banyak peluang beraksi menjelang Piala Dunia 2018 di Russia.

“Dia pemain yang penting. Mengapa kami harus kehilangan pemain yang penting? Ia bergantung kepada kami,” kata Wenger.

GIROUD (tengah) meraikan jaringan penyamaannya. -Foto AFP
GIROUD (tengah) meraikan jaringan penyamaannya. -Foto AFP

“Dia akan disenarai dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap selepas ini. Saya sentiasa percaya apabila kamu mempunyai ramai pemain yang bagus, sesetengah daripada mereka tidak boleh bermain.

“Persoalan yang sentiasa dibangkitkan ialah ‘mengapa lelaki yang begitu baik permainannya tidak beraksi?’ Kerana jika kamu tidak menggunakannya, pemain lain yang juga pemain yang bagus tidak dapat bermain. Ia semudah itu.”

Wenger berkata dia melihat Giroud sebagai pemain utama dalam skuad kendaliannya dan memuji sikap pemain itu.

“Kami perlu bersyukur yang dia adalah sebahagian daripada pasukan yang hebat dan seseorang yang sentiasa datang dan memberikan perbezaan dengan sikap dan kemampuan yang betul. Dia adalah pemain berbakat.”

Wenger begitupun tidak berpuas hati dengan permulaan perlahan ditampilkan pasukannya sebelum ini yang digambarkan sebagai membazirkan masa.

“Saya fikir ia pembaziran masa menjadi masalah sebenar di England,” katanya. “Pertama sekali saya fikir semua pemain perlu menghormati permainan.

“Kedua adalah keputusan pengadil untuk bertindak di awal perlawanan kerana ia benar-benar menjadi masalah dalam tempoh dua musim kebelakangan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 2:10 PM