PKNP FC terus mendapatkan sentuhan pemain Korea Selatan apabila menandatangani Yeon Gi Sung (gambar) bagi mengisi tempat ditinggalkan penyerang import dari negara itu, Kim Hyeon Woo yang berhijrah ke Terengganu.

Penolong jurulatih, Chan Wing Hoong berkata, Gi Sung, 28, adalah pilihan tepat untuk mengetuai jentera serangan kelab itu berdasarkan pengalamannya beraksi dalam Liga Korea, Thailand dan terakhir di Kemboja bersama kelab Phnom Penh Crown.

Malah, Wing Hoong menegaskan Gi Sung bukan pilihan ‘tangkap muat’ kerana pihaknya sudah mengikuti prestasi pemain itu sejak musim lalu.

“Sebenarnya sebelum mendapatkan Kim pada pertengahan musim ini, kami terlebih dulu menawarkan tempat kepada Gi Sung tapi ketika itu dia sudah menandatangani kontrak dengan kelab di Kemboja itu.

“Jadi, bila Kim menolak tawaran menyambung kontrak untuk menyertai Terengganu musim depan, kami terus menghubungi Gi Sung, ternyata dia bersetuju menyertai PKNP.

“Dia memiliki kriteria penyerang yang kami cari serta sesuai dengan corak permainan PKNP. Saya yakin kami sudah membuat pilihan yang tepat serta mampu mengisi tempat yang ditinggalkan Kim,” kata Wing Hoong.

Pemain berasal dari Suwon itu memulakan karier bersama kelab Gyeongnam FC yang beraksi dalam Liga Korea pada 2009 sebelum berkelana ke beberapa kelab Asia Tenggara seperti di Thailand, Myanmar dan Kemboja.

Wing Hoong berkata, dengan kedatangan Gi Sung, PKNP kini sudah mempunyai dua pemain import apabila turut mengekalkan pemain pertahanan, Ritus Krjauklis dari Latvia.

“Kami masih meneliti beberapa calon untuk mengisi baki kuota pemain import. Kami tidak mahu terburu-buru bagi memastikan pemain dipilih kelak benar-benar dapat memberi impak kepada cabaran PKNP,” katanta.

PKNP dan Negeri Sembilan akan beraksi dalam Liga Super selepas Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memilih kelab itu berikutan FELDA United dan Terengganu FC II (TFC II) diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 4:31 PM