SEU Bock (tengah) pernah latih Chong Wei sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih wanita. -Foto fail
Fabian Peter


KETUA jurulatih wanita kebangsaan Tey Seu Bock sekali lagi diberi kepercayaan membantu pemain perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei pada Siri Super Akhir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang bermula Rabu ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mengesahkan Seu Bock yang sepatutnya bercuti, dipanggil menggantikan jurulatih perseorangan, Hendrawan yang tidak dapat bersama berikutan masalah visa.

Terdahulu dilaporkan Chong Wei bersedia beraksi di pertandingan itu tanpa jurulatih bersamanya.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai bagaimanapun ketika dihubungi mengesahkannya.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk menyelesaikan masalah visa Hendrawan. Jadi kami terpaksa memanggil Seu Bock.

“Kami tidak menjangkakan perkara ini berlaku kerana Hendrawan sebelum ini pernah Dubai iaitu tahun lalu dan tiada masalah yang timbul.

“Bagaimanapun tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana perkara ini sudah dimaklumkan kepada Seu Bock yang akan ke Dubai esok malam (Selasa).

“Dia (Seu Bock) akan bersama-sama Chong Wei pada perlawanan pertama Khamis ini.”

Seu Bock sebelum ini pernah melatih Chong Wei sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih skuad wanita.

Dia juga memainkan peranan penting membimbing bekas pemain nombor satu dunia itu merangkul gelaran Siri Super yang kedua tahun ini ketika Terbuka Hong Kong baru-baru ini.

Chong Wei yang juga juara Siri Super Dunia sebanyak empat kali (2008, 2009, 2010 dan 2013), bertolak ke Dubai Ahad lalu bersama rakan sepelatih, Cheam June Wei.

Selain Chong turut layak beraksi di pentas akhir tahun ini adalah beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bersama ketua jurulatihnya Chin Eei Hui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 7:35 PM