RONALDO (kanan) dan Neymar akan bertembung di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. -Foto Agensi
RONALDO (kanan) dan Neymar akan bertembung di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. -Foto Agensi
AFP

PARIS: Pertembungan Cristiano Ronaldo dan Neymar selaku pemain paling mahal di dunia dibeli Paris Saint-Germain (PSG) menjanjikan aksi paling mendebarkan selepas undian pusingan kalah mati Liga Juara Juara semalam menemukan kedua-dua kelab itu.

Undian semalam juga menyaksikan nasib berbeza dialami lima kelab Liga Perdana Inggeris, iaitu bilangan paling besar yang mencatat rekod mara ke pusingan kalah mati dengan menyaksikan Chelsea diundi bertemu Barcelona manakala Tottenham Hotspur berdepan Juventus.

Juara dua kali, Real Madrid kini memburu rekod selaku pemenang kali ketiga mengikuti jejak Bayern Munich pada era 1970 yang muncul juara tiga kali berturut-turut.

Skuad kendalian Zinedine Zidane memang perlu dielakkan oleh PSG namun ia tidak berlaku apabila Real menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Spurs.

RONALDO mahu bawa Real muncul juara Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut. -Foto AFP
RONALDO mahu bawa Real muncul juara Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut. -Foto AFP

PSG mengharapkan diundi bertemu Basel atau Porto untuk menjamin laluan lebih jauh, tetapi jurulatih PSG Unai Emery berkata: “Saya tidak fikir ia undian yang teruk. Saya fikir kami sama taraf untuk berdepan Real Madrid.”

PSG menempa nasib malang musim lalu apabila diundi bertemu Barcelona yang menyaksikan mereka menang 4-0 di halaman sendiri pada perlawanan pertama sebelum tumbang 6-1 dalam aksi kedua di Camp Nou.

Emilio Butragueno, bekas pemain yang kini Pengarah Real, mengakui kesal menyaksikan salah satu daripada kelab terhebat dunia itu bertemu sesama sendiri dan bakal tersingkir lebih awal.

“Inilah nasib dalam bola sepak dan satu daripada dua kelab ini pasti tersingkir awal pada peringkat kalah mati ini, pada asalnya kami menjangkakan satu daripada kelab ini akan muncul juara,” katanya kepada beIN Sports Sepanyol, hari ini.

PSG jelas mahu menebus kehampaan di tangan Barca musim lalu dengan mendapatkan khidmat bintang Brazil, Neymar dengan rekod perpindahan termahal dunia mencecah 222 juta euro (kira-kira RM1 bilion) selain mendapatkan khidmat pemain handalan Kylian Mbappe.

“Setiap musim mereka akan mendapatkan pemain terhandal dan mereka bertambah kuat,” kata Butragueno

Perlawanan peringkat pertama berlangsung Rabu (14 Februari) di Santiago Bernabeu, gelanggang sama menyaksikan Real menewaskan PSG 1-0 dalam peringkat kumpulan dua tahun lalu.

Chelsea pula diundi bertemu Barcelona dengan aksi pertama berlangsung di Stamford Bridge pada 20 Februari.

“Mereka adalah pasukan yang hebat dan bekerja keras dengan taktikal yang sangat tersusun,” kata pengurus Barcelona, Ernesto Valverde mengulas mengenai skuad kendalian Antonio Conte itu.

Skuad Pep Guardiola, Manchester City, menyaksikan undian lebih mudah baginya dengan bertemu Basel.

Neymar (atas) akan menjadi sandaran PSG untuk menewaskan Real. -Foto EPA
Neymar (atas) akan menjadi sandaran PSG untuk menewaskan Real. -Foto EPA

Bagaimanapun, juara Switzerland itu tidak boleh dipandang mudah berikut kejayaan mereka menjinakkan kelab EPL sejak kebelakangan ini termasuk membenam Manchester United bulan lalu.

“Kami menghormati FC Basel dan perlu berhati-hati berdepan mereka,” kata Pengarah City, Txiki Begiristain.

Anak buah Jose Mourinho pula berdepan Sevilla, manakala Liverpool berdepan Porto.

Naib juara musim lalu, Juventus pula bakal berdepan Tottenham selepas terselamat daripada Real Madrid.

“Wembley menunggu kami, iaitu satu gelanggang yang amat ditakuti dalam sukan ini,” kata pengendali Juventus, Massimiliano Allegri menerusi Twitter, Juventus bakal bertandang ke Wembley dalam aksi kedua pada 7 Mac depan.

“Spurs pasukan muda dan berbakat tetapi jika kami beraksi seperti lazimnya Juve biasa lakukan, kami akan mara,” katanya.

Wakil Itali yang turut mara ialah Roma yang akan bertemu juara Ukraine, Shakhtar Donetsk.

Sementara itu, juara lima kali yang kini pendahulu Bundesliga, Bayern nyata agak selesa bertemu Besiktas.

Tetapi kelab Turki itu mencipta kejutan apabila mara ke pusingan kalah mati dengan menyingkirkan satu lagi wakil handal Jerman, RB Leipzig sekali gus memaksa Bayern perlu waspada dengan kemunculan hebat wakil Turki berkenaan yang kali terakhir mara ke suku akhir pada musim 1986-87.

“Kami tahu betapa kuatnya mereka dan kami mengikuti perkembangan mereka ketika berdepan Leipzig. Ia akan menjdi pertembungan sukar tetapi kami akan cuba menyesuaikan dengan keadaan stadium mereka,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamdzic.

Aksi final dijadual berlangsung di Kiev pada 26 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 1:03 PM