MANIAM (dua dari kiri) percaya dengan beri lebih aksi kepada pemain muda dapat meningkatkan potensi pemain itu. -Foto fail
Syafiq Aznan


PENGENDALI Selangor, P Maniam memberi bayangan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda membarisi kesebelasan utama The Red Giants dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Menurut bekas pengendali Air Asia FC itu, beliau sedar pemain muda sememangnya memerlukan pendedahan untuk beraksi pada tahap yang kompetitif sekali gus akan memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan potensi diri masing-masing.

“Kita akui barisan Selangor musim depan dibarisi ramai pemain muda, jadi penting untuk mereka diberi pendedahan dan peluang beraksi.

“Jadi, mereka perlu bersedia dan memanfaatkan peluang yang diberikan dengan memperagakan aksi terbaik masing-masing.

“Apapun, selepas lebih seminggu menjalani latihan, saya dapat saksikan pemain senior dan pemain muda dapat menunjukkan persefahaman yang baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pramusim juara Piala Malaysia 33 kali itu, Maniam menegaskan kemungkinan besar mereka akan mengharungi beberapa aksi persahabatan di luar negara, bulan depan.

“Kita ada lebih kurang sembilan minggu untuk melakukan persiapan, jadi saya kira tempoh itu memadai membentuk pasukan yang mantap.

“Kemungkinan kita akan menjalani aksi pramusim di Thailand atau Indonesia, namun kita masih menunggu kata putus daripada pengurusan. Perancangan itu memang ada cuma kita belum tentukan di mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 4:46 PM