B SATHIANATHAN
B SATHIANATHAN
Zulfaizan Mansor


PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan meminta jurulatih supaya tidak memberi muka kepada pemain yang ‘besar kepala’, sebaliknya menyingkirkan mereka demi kebaikan pasukan masing-masing.

Sambil mengakui sikap negatif itu memang wujud, beliau yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan menjelaskan tanggungjawab untuk mengubah atau menghukum pemain seperti ini adalah tugas jurulatih bukannya pengurusan pasukan.

“Langkah pertama yang boleh diambil jurulatih menegur pemain ini, tapi jika dia (pemain) masih lagi nak tunjukkan besar kepala, kita kena fikir untuk kebaikan pasukan dengan keluarkan dia.

“Kita mungkin juga perlu fikir sama ada dia benar-benar diperlukan dalam pasukan atau tidak. Tapi di Malaysia ini kita

tengok tiada seorang pemain pun yang bertaraf bintang seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo atau Luis Suarez.

“Standard pemain kita lebih kurang sama saja dan jika pemain kita yang besar kepala ini setaraf dengan Messi, Ronaldo atau Suarez, mungkin kita boleh tutup sebelah mata.

“Tapi di Malaysia ini siapa (pemain mana) yang hebat sangat? Jadi ia terpulang kepada pendirian jurulatih,” kata Sathianathan ketika dihubungi, hari ini.

Sathianathan berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa ramai pemain senior di negara ini termasuk dalam skuad kebangsaan atau kelab, memiliki sikap negatif itu.

Pada sidang media selepas Mesyuarat Exco FAM Sabtu lalu, Tunku Ismail turut melahirkan kebimbangan ‘virus’ yang dibawa pemain senior ini akan merebak kepada pemain muda selepas menyertai skuad utama nanti.

Selain itu, Sathianathan yang kini menggalas tugas sebagai jurulatih FELDA United FC turut mengingat semua pemain untuk mencontohi sikap legenda bola sepak negara termasuk Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang lebih gemar memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.

“Kita perlu sedar diri yang pemain di Malaysia ini tiada yang betul-betul bertaraf bintang.

“Masa saya mula bermain bersama Datuk Soh Chin Aun dan Datuk Mokhtar Dahari dulu, walaupun nama mereka berada dalam senarai teratas, tapi saya tidak nampak mereka bersikap besar kepala.

“Malah, mereka tidak lokek ilmu, sebaliknya banyak membantu serta memberi tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 7:14 PM