GOL kedua Real jaringan Bale bantu skuad kendalian Zinedine Zidane tarik nafas lega. -Foto Reuters
AFP

ABU DHABI: Gareth Bale tampil dari bangku pemain simpanan untuk menempah tiket Real Madrid ke final Piala Kelab Dunia ketika juara Eropah itu bangkit daripada kejutan ketinggalan sebelum menundukkan juara Emiriah Arab Bersatu, Al Jazira 2-1, awal pagi tadi.

Sekalipun mendominasi sepanjang perlawanan, Madrid ketinggalan ketika rehat menerusi gol pembukaan Romarinho dalam perlawanan yang turut dicemari dengan penggunakan video bantuan pengadil (VAR) yang membatalkan satu gol bagi kedua-dua pasukan.

Tekanan Madrid akhirnya berbaloi 10 minit selepas rehat apabila Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan sebelum Bale memecah kedegilan benteng Al Jazira dengan sentuhan pertamanya lapan minit sebelum tamat.

“Hebat untuk menjaringkan gol itu,” kata Bale. “Apabila masuk anda mahu melakukan impak, tapi apa yang paling penting adalah menang dan layak ke final.”

Real akan memburu trofi kelima tahun ini apabila mereka berdepan kelab Brazil, Gremio Sabtu ini.

Bale hanya melakukan penampilan kedua sebagai pemain gantian sejak September lalu kerana kecederaan otot yang serius.


BALE (kiri) selamatkan maruah Real daripada dikejutkan Al Jazira. -Foto Reuters

Namun dia membuktikan Madrid kehilangannya hampir sepanjang musim dengan penyelamat tenang selepas menggantikan Karim Benzema.

“Saya perlu bersabar, saya berdepan beberapa masalah dan ia mengambil masa. Saya perlu menjaga tubuh badan,” kata pemain Wales itu.

Satu percubaan Benzema dibatalkan kerana Ronaldo menolak pemain lawan dalam gerakan itu namun Madrid berasakan mereka akhirnya mampu mendahului apabila tandukan Casemiro tertampan kepala pemain Al Jazira dan melepasi jangkauan penjaga gol Ali Khaseif.

Namun, selepas empat minit tertangguh kerana merujuk kepada VAR, pengadil Brazil, Sandro Ricci membatalkan gol itu kerana Benzema berada dalam kedudukan ofsaid sekalipun hakikatnya pemain Perancis itu tidak mengganggu permainan.

“Secara jujur saya tidak sukakannya,” kata Bale merujuk kepada penggunaan VAR.

“Jelas mereka akan mencubanya. Bagi saya, bola sepak lebib baik tanpanya tapi mereka yang membuat keputusan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 12:18 PM