Tugas Conte (kiri) akan diambil alih oleh Ancelotti. FOTO REUTERS
Daily Record (Glasgow)

CARLO Ancelotti akan dilantik semula selaku pengurus Chelsea yang baru sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) membuka tirai saingan musim depan.

Menurut akhbar tabloid Scotland menerusi Transfer Window Podcast, melaporkan pengurus berkarisma Itali itu kembali ke Stamford Bridge sebelum kempen musim baru bermula.

Akhbar terbabit menerusi wartawan Ian McGarry mendedahkan Ancelotti, 58 sudah mengadakan pertemuan dengan pemilik The Blues, Roman Abramovich.

Ancelotti menjulang gelaran EPL serta Piala FA dan Piala Perisai Komuniti bersama kelab London itu.

Dia sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke semula ke Paris Saint-Germain (PSG) tetapi tidak menjadi kenyataan.

Ancelotti akan menggantikan Conte yang tiba ke penghujung karier bersama Chelsea selepas terbabit dalam beberapa perbalahan polisi perpindahan pemain kelab.

McGarry berkata: "Ancelotti tidak akan kembali ke PSG kerana dia akan kembali ke London pada Februari depan.

"Dia akan menunggu menggantikan Conte di Chelsea. Dia bertemu dan bercakap dengan Chelsea berhubung urusan mengambil alih tugas Conte yang ramai pihak di kelab itu yakin dia tidak akan berada lagi selepas habis musim.

"Malah, jika prestasi saingan kalah mati Liga Juara Juara (UCL) begitu teruk dia akan meninggalkan kelab dan Carlo mengambil alih serta merta. Itu apa yang akan berlaku”.

Ancelotti dikenali selaku pengurus berdiplomasi, mendengar pandangan pemain dan cara bagaimana mereka mahu bermain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 12:23 PM