JUERGEN KLOPP
AFP

LONDON: Jurgen Klopp menolak dakwaan mengatakan Liverpool ‘kembali berdepan era kegelapan’ daripada sudut konsistensi susulan dua keputusan seri yang dilakar sebelum ini.

Pengendali dari Jerman berusia 50 tahun itu menyaksikan skuad kendaliannya mencatat dua keputusan seri berturut-turut menentang Everton dan West Brom yang jelas merobek semangat The Reds selepas melakar kemenangan menakjubkan 7- 0 ke atas Spartak Moscow dalam kempen Liga Juara-Juara.

Begitupun Klopp yang ditemui menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) melawan Bournemouth, esok tidak berminat dengan pendapat mengenai perubahan mendadak yang berlaku dalam pasukannya dan menegaskan pemain-pemainnya masih belum kehilangan cetusan kreatif mereka.

“Sembilan hari lalu kami berada di tahap terbaik, dan kini saya lihat kembali di mata kamu dan dapat melihat dengan jelas kami berdepan masalah,” kata Klopp.

“Semuanya seolah-olah berlaku terlalu pantas. Kami akan mencuba sekali lagi.”

Klopp yang boleh menyenaraikan semula pemain England, Adam Lallana selepas pulih daripada kecederaan paha juga enggan menerima andaian bahawa barisan serangannya yang diterajui Sadio Mane, Robert Firmino, Philippe Coutinho dan Mohamed Salah sudah kehilangan ketajaman mereka.

“Kami tidak tewas,” kata Klopp yang dijangka akan menyenaraikan semula penjaga gol, Simon Mignolet yang sudah pulih daripada kecederaan buku lali.

“Ia masih ada, tetapi itu adalah tanggungjawab kami. Kami perlu bermain dengan lebih baik berbanding ketika menentang West Brom.

“Tetapi sebenarnya, ia sudah begitu lama dan buat pertama kalinya (Liverpool bermain seperti itu). Saya tidak pasti ia satu-satunya tempat di mana kita berfikir seperti ini ‘oh, sekarang kita kembali dalam hari-hari gelap’ atau apa sahaja. Ia hanya satu permainan.

“Mengapa kami perlu bimbang yang bermula pada saat ini kami akan sentiasa bermain seperti melawan West Brom? Ia juga kesalahan yang sama untuk berfikir yang kami akan sentiasa bermain seperti menentang Spartak.” -

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 4:41 PM