RONALDO (tengah) dan rakan sepasukan meraikan kejayaan mereka menjulang Piala Dunia Kelab FIFA selepas menewaskan Gremio 1-0. -Foto Reuters
AFP

ABU DHABI: Cristiano Ronaldo meledak gol berpunca sepakan percuma bagi memastikan Real Madrid menjulang trofi kelima pada 2017 dengan menewaskan Gremio 1-0, awal pagi tadi sekali gus mempertahankan trofi Piala Dunia Kelab.

Kejuaraan ketiga Piala Dunia Kelab dalam tempoh empat tahun membawa Real menyamai pencapaian seteru, Barcelona selaku pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan selain menambah gelaran yang dicapai sebelum ini iaitu La Liga, Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA, Piala Super Sepanyol yang sudah pun dimenangi skuad kendalian Zinedine Zidane tahun ini.

Ronaldo sekali lagi menyinar buat Real di pentas utama apabila rembatannya menerusi sepakan percuma menerjah gawang Gremio lapan minit selepas babak kedua bersambung bagi memastikan juara Eropah itu dinobatkan juara dunia buat kali kelima berturut-turut.

“Kami mahu menang kerana Real Madrid tidak pernah menang lima trofi dalam setahun,” kata Ronaldo.

“Saya fikir kami mengharungi perlawanan yang baik dan layak untuk menang.”


RONALDO jaring gol tunggal perlawanan dengan sepakan percuma. Foto Reuters

Ronaldo kini sudah menjaringkan 15 gol dalam 20 penampilan bersama Real musim ini di sebalik permulaan perlahan di La Liga.

“Jumlahnya memberikan jawapan,” kata penyerang kelahiran Portugal itu. “Saya memberikan jawapan saya di atas padang. Pasukan menakjubkan dan ia adalah satu lagi trofi untuk rekod pencapaian kami.”

Dalam perlawanan berkenaan, Gareth Bale diletakkan di bangku simpanan sekali pun menjaringkan gol ketika melawan Al Jazira yang membawa Real ke pentas final dengan Zidane menyenaraikan kesebelasan sama seperti mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara pada Jun lalu.

Gremio yang menempah tiket ke Abu Dhabi dengan memenangi Copa Libertadores buat kali ketiga, bulan lalu dan Real sedar mereka tidak akan meraih kemenangan mudah.

Real mendominasi perlawanan tetapi tidak seperti aksi separuh akhir, mereka jelas sukar untuk merobek gawang Gremio yang dikawal barisan pertahanan yang berdisiplin.

Beberapa peluang berjaya diraih termasuk daripada Luka Modric pada babak pertama tetapi tidak berjaya disempurnakan sebelum pemain terbaik dunia itu membuktikan kemampuannya sebagai antara pakar sepakan percuma.

Dalam perlawanan terdahulu, kelab Mexico, Pachuca menewaskan kelab tuan rumah, Al Jazira 4-1 untuk penentuan tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 12:22 PM