ZONJIC (dua dari kiri) menyertai TFCI selepas mengikat kontrak setahun di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT). FOTO/FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak

TERENGGANU FC I (TFCI) melengkapkan kuota awang importnya apabila pertahanan kelahiran Serbia, Igor Zonjic menjadi pemain import kelima mereka untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pemain berusia 26 tahun itu akan peneraju baru benteng skuad Penyu bagi menggantikan tempat Lazaro Vinicius yang tidak disambung kontrak.

Zonjic berkata, dia sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik dengan membantu TFC I memburu kejuaraan.

Katanya, dia yakin dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini di samping memahami corak permainan bola sepak Liga-M.

“Saya sangat gembira dapat bermain di negara ini dan berharap musim pertama saya bersama TFC I penuh dengan kejayaan.

“Malah, saya tidak kisah dengan cuaca panas di negara ini kerana memang saya suka. Saya juga sukakan bandar ini kerana sangat tenang dan berharap segala-galanya berjalan lancar,” katanya selepas menandatangani kontrak setahun di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), hari ini.

Zonjic yang pernah menyarung jersi skuad bawah 23 tahun negaranya berkata, prestasinya kini berada di tahap terbaik selepas mengharungi saingan Liga Serbia bersama FK Rad.

“Saya mempunyai masa rehat lima hari sebelum turun berlatih untuk persiapan pasukan mengharungi liga yang dijadualkan Februari tahun depan.

“Sekalipun ini penampilan pertama di Asia, saya berjanji akan melakukan yang terbaik dan yakin tidak ada masalah untuk membantu TFC I memburu kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 5:50 PM