POSTECOGLOU (kiri) teruja berhijrah ke Jepun dan kembali melatih kelab. -Foto fail
AFP

TOKYO: Bekas pengendali Australia, Ange Postecoglou yang memacu pasukan negara itu layak ke Piala Dunia dan meletak jawatannya bulan lalu, dilantik sebagai pengendali kelab Jepun, Yokohama F-Marinos untuk menghadapi musim depan, umum kelab itu.

Pengendali kelahiran Greece itu akan menggantikan jurulatih dari Perancis, Erick Mombaerts yang akan tamat kontrak hujung musim ini dan akan kembali ke Eropah.

“Saya begitu teruja untuk berhijrah ke Jepun dan kembali melatih kelab,” kata jurulatih berusia 52 tahun itu menerusi satu kenyataan.

Sambil itu, Postecoglou menegaskan beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemain muda dimiliki kelab itu.

Yokohama F-Marinos dimiliki oleh City Football Group (CFG) yang juga pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City; kelab Amerika Syarikat, New York City, Melbourne City (Australia) dan Atletico Torque (Uruguay).

Presiden kelab, Koichiro Furukawa berkata, Postecoglu akan mengetuai pasukan dengan gaya permainan yang menarik dan menghiburkan, sesuai dengan pendekatan yang diambil pasukannya.

Australia pula berkata, pihaknya tidak bercadang melantik jurulatih baharu sebelum Februari ini, namun bekas pengendali Amerika Syarikat dan legenda Jerman, Jurgen Klinsmaan dilaporkan berminat dengan tugasan itu.

Di pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan, Australia diundi dalam Kumpulan C bersama Perancis, Denmark dan Peru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 3:28 PM