ADIB Zainuddin (tengah) lebih berminat sertai pasukan lain dan PKNS sudah pun memuktamadkan senarai pemain tempatan. -Foto fail

Rodly Fadly

[email protected]

PKNS FC sudah melupakan hasrat menyunting kapten skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Adib Zainuddin sekalipun mengakui terpikat dengan pemain pertahanan itu.

Sebaliknya, skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu kini memberi tumpuan untuk memilih lima pemain import bagi melengkapkan pasukan berkenaan.

Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, mereka sudah memuktamadkan senarai pemain tempatan bagi musim 2018 sekali gus menutup rundingan bersama Adib.

“Saya akui kami memang berminat dengan Adib malah sejak musim 2017 mahu membawanya ke PKNS. Tapi ketika itu dia memilih menyertai FELCRA.

“Begitu juga untuk musim depan, kami ada merisik tapi tidak mendapat jawapan kerana saya difahamkan Adib lebih berminat menyertai pasukan lain.

“Justeru, kami sudah mendapatkan pemain untuk posisi berkenaan kerana tidak boleh menunggu terlalu lama kata putus daripada dia kerana bimbang menjejaskan persiapan kami,” kata Mahfizul.

Adib yang kini bersama skuad B-23 negara menjalani latihan di Mokpo, Korea Selatan sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China, bulan depan mendedahkan PKNS antara empat pasukan yang melamarnya.

Menurut Adib, tiga lagi pasukan adalah Kuala Lumpur, FELCRA dan sebuah kelab dari selatan.

Namun, dia hanya akan membuat keputusan selepas selesai tugasan bersama skuad B-23 kebangsaan.

PKNS dilihat memantapkan barisan tempatannya dengan membawa masuk beberapa bintang muda berpotensi seperti Jafri Firdaus Chew, Faizat Ghazali (Pulau Pinang), Nurridzuan Abu Hassan (Pahang) dan Mohd Qayyum Marjoni Sabil (Kelantan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 4:35 PM