SUBAHAN (kiri) mengesahkan sudah menghantar surat kepada FIH. FOTO/BERNAMA
Naqib Nor Said


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan sudah menghantar surat kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memohon diadakan sesi pendengaran berhubung isu doping penjaga gol negara, S Kumar.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata surat itu diserahkan kepada FIH hari ini selepas penjaga gol yang sudah membuat 295 penampilan buat Malaysian Tigers itu menolak menjalani ujian sampel B.

“Ya, surat itu sudah dihantar hari ini dan sekarang ini kami hanya mengharapkan FIH akan memberi jawapan secepat mungkin.

“Kami akan beri kerjasama penuh kepada FIH dan mahukan perbicaraan dilakukan segera untuk menyelesaikan kes ini.

“Kami yakin Kumar seorang yang jujur dan perlu dibantu sebaik mungkin. Lagipun khidmatnya amat ditagih untuk kempen Sukan Asia 2018 di Jakarta,” kata Subahan ketika dihubungi sebentar tadi.

Kumar, 38, digantung sementara oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) sejak 12 Disember lalu selepas didapati menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine ketika beraksi dalam saingan Piala Asia di Dhaka, Oktober lalu.

Anak kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu boleh dikenakan penggantungan maksimum selama dua tahun jika didapati bersalah.

Untuk rekod, bekas penjaga gol terbaik Asia itu sudah menjalani ujian doping lebih daripada 10 kali sejak membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa pada 1999 dengan semuanya negatif.

.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 9:39 PM