MOHAMAD mahu pemain NS mengikuti 21 garis panduan tatatertib yang ditetapkan PBNS.
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mewujudkan 21 garis panduan tatatertib yang perlu dipatuhi bagi memastikan setiap pemainnya menjunjung disiplin yang tinggi sepanjang bersama pasukan itu.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, garis panduan itu baharu diwujudkan bagi memastikan kelancaran dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan serta mencapai sasaran ditetapkan.

“Antara elemen atau pantang larang yang terkandung dalam garis panduan itu ialah pemain dilarang melepak sesuka hati di tempat tertentu seperti di kelab malam pada malam hari,” kata Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

“Pemain juga diingatkan supaya tidak sengaja melanggar disiplin ketika beraksi di padang seperti sengaja mahu dikenakan kad merah dengan memaki pengadil atau menumbuk pemain lawan. Bagi mereka yang melakukan kesalahan itu, mereka akan dibawa ke jawatankuasa disiplin pasukan terlebih dulu sebelum hukuman setimpal dijatuhkan.

“Antara tindakan yang akan dikenakan kepada pemain berkenaan termasuk memotong gaji mereka, selain disingkirkan daripada pasukan, namun ia bergantung kepada jenis dan tahap kesalahan dilakukan.”

Negeri Sembilan bakal bersaing dalam Liga Super musim 2018 berikutan beberapa perubahan yang berlaku terhadap pasukan Terengganu FC 11 (TFC 11) dan FELDA United FC, yang akan beraksi di Liga Perdana.

Mohamad berkata, pihaknya sudah menjelaskan pantang larang itu kepada setiap pemain yang menandatangani kontrak dengan pasukan itu dan bercadang untuk mendapatkan kerjasama Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi menerangkan dengan lebih jelas tentang garis panduan berkenaan kepada pemain import.

“Kami perlu bertegas dalam soal disiplin pemain selaras dengan tahap profesional Liga-M selain mahu memastikan tidak isu atau perkara yang boleh mengundang masalah antara pemain dan pihak pengurusan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata PBNS melantik bekas Pengarah Teknikal pasukan itu, Jorg Steinebrunner sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Negeri Sembilan.

Berkenaan skuad pula beliau berkata, pengurusan pasukan itu sudah melengkapkan senarai 24 pemain membabitkan empat pemain import dan 20 pemain tempatan termasuk lima daripada skuad Piala Presiden yang dinaikkan pangkat.

Menurutnya, terdapat seorang lagi pemain import sedang diuji sebelum ditawarkan kontrak. “Kita dijangka dapat melengkapkan kesemua senarai 25 pemain selepas 29 Disember ini, sebaik berlangsungnya perlawanan persahabatan menentang Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:00 AM