RONNY kini bersama PJ Rangers.
Ryan Stanley


PENGENDALI Sabah, Jelius Ating kecewa kerana gagal mendapatkan khidmat bekas pertahanan pasukan negeri itu, Ronny Harun, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Jelius berkata, walaupun pada mulanya Ronny, secara lisan telah bersetuju untuk menyarung jersi Sang Badak, tetapi akhirnya terpaksa akur selepas bekas pemain kebangsaan itu menandatangani kontrak bersama kelab Liga FAM, Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers).

“Sememangnya saya sangat kecewa kerana saya telah berusaha sehabis baik bagi meyakinkan Ronny dan Mafry (Balang) untuk kembali ke pangkuan Sabah musim depan,” kata Jelius.

“Mereka juga telah menolak beberapa tawaran dari pasukan lain di semenanjung malah Ronny turut menolak tawaran sebuah kelab dari Thailand, bagaimanapun perbincangan antara Ronny dan pasukan berakhir dengan sangat mencewakan.”

Jelius berkata, dia dimaklumkan yang jurulatih dan pegawai pasukan PJ Rangers datang ke Kota Kinabalu bersama kontrak untuk ditandatangani Ronny.

“Oleh kerana tiada persetujuan dicapai antara Ronny dan SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah), dia mempunyai hak untuk menandatanganinya (kontrak dengan PJ Rangers),” katanya.

Sementara itu, Jelius berharap SAFA tidak akan berputih mata dalam usaha mendapatkan khidmat Mafry untuk musim depan.

“Mafry sudah balik ke Pulau Pinang untuk mengurus barangan miliknya di situ dan dijangka kembali semula ke Kota Kinabalu esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:13 PM