WINDSOR enggan campuri urusan FAM menghukum Pahang.
Syafiq Aznan


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menegaskan pihaknya tidak boleh campur tangan di sebalik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melarang Pahang daripada memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya tidak boleh mencampuri segala isu dalaman membabitkan FAM dengan keputusan yang diambil itu dibuat mengikut Peraturan Disiplin badan induk berkenaan.

“Keputusan itu sudah pasti dibuat mengikut prosedur dalaman FAM. Jadi, AFC tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hukuman yang diputuskan itu.

“Pada masa sama, AFC juga tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Pahang yang sudah menyatakan pendirian mereka untuk tidak mahu menyertai saingan Piala AFC 2018.

“Sama ada hukuman itu sebagai pengajaran, ia terpulang kepada FAM untuk menentukan prinsip mereka di sebalik hukuman yang sudah diputuskan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, kedegilan Pahang yang enggan menerima tawaran FAM untuk mengisi satu lagi slot pasukan ke saingan Piala AFC 2018 akhirnya membawa padah apabila skuad Tok Gajah tidak dibenarkan memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun.

Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang menyaksikan skuad Tok Gajah tidak akan mewakili negara ke Liga Juara-Juara Asia 2019 dan 2020 meskipun menjuarai Piala FA dan Liga Super.

Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan Piala AFC musim depan.

Mengikut peruntukkan statut FAM, Artikel 14 Status FAM - obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), AFC dan FAM pada setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 10:28 PM