IRFAN mempunyai banyak pengalaman untuk membentuk skuad mantap TFC 1.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


“KAMI harapkan kejayaan cemerlang seperti musim 2011 kembali berulang buat Terengganu atau kini dikenali sebagai Terengganu FC I (TFC I) pada musim depan,” kata Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH), Wan Mohd Azmi Wan Ngah.

Selain itu, beliau turut mengharapkan pendatang baharu Liga Super itu bakal menjadi antara pesaing hebat dalam kancah Liga Malaysia ( Liga M) sekali gus terus kekal dalam saingan liga utama selepas muncul naib juara Liga Perdana musim ini.

“PETEH sedar bukan tugas mudah buat barisan jurulatih Irfan Bakti Abu Salim itu mengulangi pencapaian gemilang tujuh tahun lalu itu. Ini ditambah dengan saingan sengit daripada setiap pasukan selain penambahan kuota lima pemain import.

“Namun begitu, dalam sukan bola sepak apa-apapun boleh berlaku walaupun saingan dalam Liga M dilihat kian sengit kerana bagi kelab PETEH kewibawaan dan komitmen daripada pemain menjadi senjata utama pasukan.

“Selain itu keupayaan pengendali, Irfan Bakti yang bukannya calang-calang jurulatih tapi sarat dengan strategi dan taktikal juga turut menjadi aset berharga buat skuad Peteh Terengganu Peteh begitu juga dengan pembantunya, Mohamad Nik, Kamaruddin Anuar dan Nafuzi Zain,” kata Wan Mohd Azmi.

Pada musim 2011, skuad Terengganu yang juga mendapat sentuhan daripada Irfan Bakti berjaya muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia dan Liga Super.

Antara pemain yang masih beraksi dalam skuad Penyu ialah bekas penyerang Pahang musim lalu, Mohd Ashari Samsuddin yang kembali menyarung jersi skuad TFC I musim depan.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Azmi mengharapkan peminat setia pasukan TFC I memenuhi stadium setiap kali pasukan berkenaan beraksi bagi menyuntik semangat pemain supaya mampu memperagakan aksi cemerlang.

“Kami peminat dahagakan kejayaan. Justeru apa yang kami harapkan barisan pemain harus berusaha lebih keras bagi memastikan sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) iaitu satu piala dan ketiga Liga Super berhasil.

“Kami juga mahukan pemain import seperti Tchetche Kipre, Kim Hyeon Woo, Lee Tuck, Thierry Chantha Bin dan Igor Zonjic mampu memberi impak yang berkesan buat pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 9:06 PM