NABIL Fiqri
NABIL Fiqri
Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Selepas berehat dua bulan akibat kecederaan hamstring, penyerang Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) Nabil Fiqri Mohd Noor sudah bersedia sepenuhnya untuk turun beraksi pada perlawanan pembukaan Piala Tan Sri P Alagendra, menentang Kedah Hockey Team pada 3 Januari depan.

Penyerang serba boleh berusia 31 tahun itu sebelum ini terpaksa berehat panjang selepas dilanda kecederaan sewaktu skuad hoki kebangsaan muncul naib juara Piala Asia di Dhaka, Oktober lalu.

Perkembangan terkini menyaksikan Nabil pulih sepenuhnya untuk menghayun kayu hoki dan pastinya berita itu melengkapkan minggu bermakna untuknya selepas baru menimbang cahaya mata sulung, Anaqi Syamil, baru-baru ini.

“Saya sudah lulus ujian perubatan. Jika tiada halangan minggu depan saya sudah boleh mula menyertai sepenuhnya latihan pasukan.

“Sebelum ini saya hanya menjalani latihan ringan bersama pasukan kebangsaan dan semalam kami sudah diberi pelepasan untuk bersama kelab masing-masing,” katanya, semalam.

Bekas produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu, bagaimanapun sedar tugas berat menunggunya bagi merebut tempat kesebelasan utama ketika KLHC dipercayai bakal mempertaruhkan lima pemain import untuk kempen 2018.

“Terserah kepada jurulatih. Sebagai pemain, saya hanya memberikan yang terbaik pada setiap sesi latihan dan tiada masalah sekiranya digilirkan kerana itu perkara biasa dalam era hoki moden ini.”

Ditanya mengenai kejayaan KLHC menyambar Lim Chiow Chuan sebagai pengendali pasukan, Nabil menyifatkan kehadiran bekas penolong jurulatih Malaysian Tigers itu sebagai pelengkap dalam usaha pasukan itu merampas kembali status juara berganda - Liga Premier dan Piala TNB.

“Kami kini lebih bersedia terutama dari segi taktikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 2:00 AM