PEMAIN kedua-dua pasukan bergambar kenangan sebelum perlawanan.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Hasrat Old Frees Association (OFA) selaku penyandang juara untuk mengulangi sekali lagi kejayaan tahun lalu tidak kesampaian apabila dihampakan Mutiara Impian Young Boys (MIYB) 3-5 dalam final Kejohanan Hoki TNB-PSHA 2017 di Stadium Hoki, USM, baru-baru ini.

MIYB mengejutkan OFA menerusi jaringan pertama oleh Muhammad Alif Farhan pada minit ke-3 sebelum OFA membalas menerusi gol penyamaan Asrul Azrin Omar beberapa minit kemudian.

Kealpaan barisan pertahanan MIYB dihukum buat kali kedua apabila OFA menjaringkan gol pada minit ke-16 hasil jaringan Izwan Firdaus Ahmad namun MIYB tak berputus asa dan berjaya mendapatkan gol penyamaan tiga minit kemudian menerusi Muhammad Faris Harizan.

Pujian harus diberikan kepada anak buah OFA bimbingan Rosli Suparlan apabila berjaya mengucar-kacirkan pasukan lawan namun barisan muda MIYB enggan mengalah dan berjaya menghasilkan gol ketiga pada minit ke-19 jaringan Muhammad Sariful dan kekal hingga tamat perlawanan separuh masa pertama.

Babak separuh masa kedua ternyata tampak seimbang dengan serangan bertali arus kedua-dua pasukan namun faktor usia menjadi penghalang buat OFA untuk terus mengekang serangan tanpa henti MIYB.

Anak buah didikan Muhammad Amirul Abdullah terus bernafsu biarpun OFA berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-32 oleh Mohd Yusnizal Berahim dan mereka tidak terkejut malah terus menggandakan serangan demi serangan.

Kemenangan ternyata memihak kepada MIYB apabila berjaya mendapatkan dua gol mudah dalam tempoh dua minit pada minit 47 dan 49 hasil jaringan pemain berbakat besar, Muhammad Hafizuddin Zaidi.

Impian MIYB untuk merampas trofi Kejohanan Hoki TNB-PSHA 2017 ternyata menjadi kenyataan sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi manakala OFA sekadar wang tunai RM2,000 dan trofi.

Hadiah disampaikan Presiden Persatuan Hoki Pulau Pinang, Datuk Joseph Kaw dan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dr Shamala Subramaniam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 9:07 AM