KANE (kanan) tiga kali bolosi gawang Southampton dalam aksi di Wembley, malam tadi.
Reuters

London: Harry Kane menutup tirai tahun 2017 dengan jumlah jaringan dan hatrik terbanyak Liga Perdana Inggeris dalam tempoh setahun serta mengatasi Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak Eropah selepas Tottenham Hotspur membelasah Southampton 5-2, malam tadi.

Penyerang England itu meneruskan ketajamannya selepas hatrik ke atas Burnley Sabtu lalu dengan menanduk masuk sepakan percuma Christian Eriksen pada minit ke-22 untuk gol liga ke-37 dirinya sepanjang tahun ini, mengatasi rekod 22 tahun Alan Shearer untuk gol terbanyak liga tertinggi Inggeris itu dalam kalendar setahun.

Kane kemudian mengatasi Messi sebagai penjaring terbanyak Eropah untuk kelab dan negara dengan menolak masuk hantaran leret Son Heung-min pada minit ke-39.

Di babak kedua Kane meledak gol kelima pasukannya untuk menjadi pemain pertama mencatat enam hatrik Liga Perdana Inggeris dalam tempoh setahun.

Rembatan Dele Alli dan Son turut menemui sasaran untuk meletakkan Tottenham dalam kedudukan selesa di babak kedua, manakala Sofiane Boufal merapatkan jurang kepada 4-1 sebelum gol kelima Kane pada minit ke-67.

Pemain gantian Dusan Tadic turut meledak gol sagu hati untuk pelawat, yang kini di tangga ke-13 dengan 19 mata dan hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

Kemenangan besar itu membolehkan Spurs kembali melonjak ke tangga keempat liga dengan 37 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 9:39 AM